PN hanya umum lima calon PRN Melaka

LocalPolitics
30 Oct 2026 • 7:32 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PN hanya umum lima calon PRN Melaka

MELAKA: Perikatan Nasional (PN) hanya mengumumkan lima daripada enam calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan satu lagi kerusi masih belum dimuktamadkan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk tidak mengumumkan calon bagi kerusi keenam dibuat kerana gabungan itu masih meneliti beberapa pertimbangan sebelum memuktamadkan individu yang paling sesuai untuk diketengahkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana.

Beliau menegaskan, kelewatan itu bukan disebabkan pertikaian antara parti komponen mengenai pembahagian kerusi, sebaliknya melibatkan proses pemilihan calon.

“Kita tidak umumkan malam ini kerana kita tidak ketandusan calon. Ada beberapa pertimbangan mengenai calon ini yang perlu kita buat dan timbangkan sebelum keputusan akhir.

“Jadi, ada perkara yang perlu kita selesaikan. Kita tidak umumkan malam ini tetapi kita ada lagi dua hari sebelum penamaan calon,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Melaka Ke-16 di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada majlis berkenaan PN mengumumkan Pas bertanding di dua kerusi iaitu DUN Paya Rumput diwakili Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Hang Tuah Jaya yang juga bekas Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Mohd. Rizuwan Mohd. Sharif.

Wawasan pula akan diwakili dua calon iaitu penyandang kerusi DUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub dan Timbalan Ketua Wawasan Bahagian Kota Melaka, Albert Kok bertanding di Kesidang.

Gerakan diamanahkan satu kerusi yang mana Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam bertanding di Ayer Keroh.

Utusan Malaysia difahamkan kerusi Kota Laksamana kosong selepas Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengambil keputusan menolak untuk bertanding di situ di saat-saat akhir sebelum majlis berlangsung.

Berikutan keputusan MIPP itu, pengumuman calon terpaksa ditangguhkan sementara PN mengadakan mesyuarat untuk menyerahkan kerusi berkenaan dalam kalangan parti komponen.

Ahmad Samsuri ketika ditanya sama ada calon bagi kerusi berkenaan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon atau pada hari penamaan calon, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan berdasarkan perkembangan semasa.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman itu dijangka dibuat selewat-lewatnya sebelum 31 Oktober iaitu tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka.

Mengulas dakwaan kemungkinan terdapat pertikaian berhubung parti yang akan diberikan kerusi keenam, beliau menafikan perkara itu. – UTUSAN

The post PN hanya umum lima calon PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved