
PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mempersoalkan kewujudan ‘tangan ghaib’ di sebalik tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung Perikatan Nasional (PN), terutama apabila notis berkenaan dikeluarkan hampir serentak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Parti itu mendakwa perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan sama ada tindakan terhadap PN mempunyai kaitan dengan PRN Melaka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Wawasan Negara beranggapan tindakan ini adalah bermotifkan politik dan bertujuan menyekat PN daripada bertanding dalam PRN Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, PN menerima dua notis daripada RoS, masing-masing bertarikh 22 dan 23 September lalu.
Notis pertama bertarikh 22 September ialah Notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966.
Manakala, notis kedua bertarikh 23 September pula ialah Notis Perintah Penggantungan di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
RoS sebelum ini menjelaskan bahawa penggantungan berkenaan bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada gabungan itu mengemukakan penjelasan berhubung aduan yang diterima.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula berkata tindakan RoS berkenaan tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan aduan serta beberapa kepincangan yang dikesan dalam PN.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, sekali gus membuka laluan kepada PRN Melaka ke-16.
Pilihan raya negeri itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Negeri Melaka
Dalam pada itu, Wawasan berkata, tindakan RoS berkenaan tidak akan menjejaskan komitmen untuk bersama rakan-rakan komponen PN menghadapi PRN Melaka.
“Wawasan Negara akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan parti komponen PN dalam memastikan jentera dan persiapan menghadapi PRN Melaka berjalan seperti yang dirancang,” katanya. – UTUSAN
The post Wawasan persoal ‘tangan ghaib’ di sebalik penggantungan PN appeared first on Utusan Malaysia.






