PNB agih pendapatan, bonus RM14.5 bilion kepada pemegang unit pada 2024

19/05/2025 - 18:10
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 19 Mei - Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatatkan agihan pendapatan dan bonus tertinggi sebanyak RM14.5 bilion kepada pemegang unit bagi 18 dana harga tetap (FP) dan harga berubah (VP) pada tahun 2024.
Prestasi rekod itu, didorong persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif, serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan.
Hasilnya, jumlah pendapatan bersih kumpulan meningkat sebanyak 30.2% daripada RM13.04 bilion kepada RM16.97 bilion.
PNB berkata, mereka akan terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh semua rakyat Malaysia, dengan jumlah pemegang akaun unik dan jumlah keseluruhan akaun masing-masing meningkat ke paras tertinggi sebanyak 13.1 juta dan 16.2 juta.
Sehubungan itu, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) telah pulih kepada RM348.3 bilion, meningkat daripada RM337.0 bilion pada 2023.
Pengerusi kumpulan, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata PNB berpuas hati dengan prestasi kukuh yang dicapai pada tahun 2024.
"Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) telah mengagihkan dividen tertinggi dalam sejarah, memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia melalui dana utama kami, Amanah Saham Bumiputera (ASB), dengan jumlah agihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
"Kesemua 18 dana FP dan VP kami telah mengatasi penanda aras masing-masing, dengan 11 daripada 12 dana VP kami berada dalam suku teratas atau kedua dalam kumpulan rakan setanding mereka.
"Pencapaian ini secara positif mencerminkan daya tahan jangka panjang PNB dalam menunaikan tujuannya untuk meningkatkan kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentasi generasi," katanya dalam Laporan Bersepadu bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 (IR2024) yang dikeluarkan hari ini.
Memasuki 2025, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, mengambil kira perkembangan geopolitik terkini dan perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang ketara, dana tersebut mengakui bahawa mereka perlu bersikap realistik bahawa landskap makroekonomi dan pasaran modal akan menjadi sangat tidak menentu dan berisiko tinggi pada tahun hadapan.
Beliau berkata, bagi menghadapi cabaran itu, PNB akan terus komited dalam melaksanakan inisiatif strategik di bawah enam teras utama yang dibangunkan menerusi Pelan Strategik LEAP 6 syarikat.
"Fokus kami kekal pada usaha mengekalkan prestasi dana melalui strategi kepelbagaian aset secara berterusan, selaras dengan komitmen kami untuk memberikan pulangan yang konsisten dan berdaya saing kepada para pemegang unit," katanya.
Menurut PNB, Laporan Bersepadu (IR) bagi 2024 menyediakan maklumat yang lebih menyeluruh yang mencerminkan kemajuan syarikat sepanjang tahun lalu.
Ini termasuk inisiatif terkini PNB seperti Pelan Strategik LEAP 6 yang menetapkan sasaran untuk meningkatkan AUM kepada RM400 bilion menjelang tahun 2027, penjenamaan semula ASNB bagi menyuntik semangat baharu dalam usaha menarik minat generasi muda, serta pelancaran Robo Investment Advisor dan program 'Celik Madani' sebagai sebahagian daripada strategi agresif ASNB untuk menggalakkan lebih banyak tabungan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Laporan itu turut menekankan kemajuan ketara yang dicapai oleh PNB dalam memajukan agenda kelestariannya, khususnya dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih di peringkat perusahaan dan portfolio, serta memajukan agenda gaji hidup minimum di seluruh korporat Malaysia.- DagangNews.com
featured standard

