
DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak awal tahun ini bagi mengalihkan secara berperingkat pokok yang berisiko mengancam keselamatan awam di sepanjang jalan utama antara persimpangan berhampiran Jabatan Percetakan Kerajaan dan Sekolah Menengah All Saints.
DBKK turut meningkatkan usaha menangani keadaan pokok di rizab jalan di bawah bidang kuasanya di sekitar Kinarut.
Tindakan kedua-dua agensi itu susulan aduan pengguna jalan raya mengenai keadaan tumbuh-tumbuhan di Jalan Tuaran dan Jalan Kinarut Town.
DBKK menerima lebih enam laporan mengenai pokok tumbang di Jalan Tuaran sepanjang dua tahun lalu, termasuk kejadian ini pada Mac 2025.Seorang pengguna jalan raya dari Likas sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa pokok yang telah ditebang di kedua-dua belah Jalan Tuaran berhampiran Likas.
Beliau beranggapan pokok berkenaan ditebang secara sewenang-wenangnya oleh DBKK termasuk beberapa pokok besar yang menurutnya tidak menimbulkan ancaman kepada kawasan sekitarnya.
Pemandu berkenaan berharap pihak berkuasa tempatan tidak menganggap pokok lama sebagai sesuatu yang mudah dikorbankan dan digantikan.
Sementara itu seorang lagi pengguna jalan raya dari Kinarut membangkitkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan lalu lintas akibat pokok termasuk rumpun buluh yang tumbuh di sepanjang Jalan Kinarut Town.
Katanya dahan dan batang buluh yang terlalu rimbun dikhuatiri patah ketika hujan lebat dan boleh mengancam pengguna jalan raya serta pejalan kaki yang melalui kawasan berkenaan.
Menurutnya sebahagian besar tumbuh-tumbuhan di sepanjang jalan itu juga tidak diselenggara sejak bertahun-tahun.
Kedua-dua pengadu mengemukakan butiran berkaitan aduan mereka kepada Hotline sebelum perkara berkenaan disalurkan kepada DBKK dan JKR untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun jurucakap Jabatan Landskap DBKK menafikan dakwaan bahawa pihaknya bertindak terburu-buru menebang pokok di Jalan Tuaran.
“Pokok-pokok berkenaan ditebang sebagai sebahagian daripada Operasi Penebangan Pokok Bahaya Jalan Tuaran, selaras dengan arahan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau menjelaskan operasi itu membabitkan penebangan 106 pokok Angsana (Pterocarpus indicus) yang tumbuh di bahu jalan sepanjang kira-kira 3.42 kilometer di Jalan Tuaran.
Menurutnya pokok-pokok berkenaan dikenal pasti tidak selamat serta menghalang pergerakan kenderaan bersaiz besar.
“Beberapa perbincangan telah diadakan dengan JKR sebelum kerja-kerja ini dimulakan memandangkan Jalan Tuaran disenaraikan dalam daftar jalan jabatan berkenaan.
KAKITANGAN syarikat konsesi bertungkus-lumus memangkas tumbuh-tumbuhan yang tumbuh terlalu lebat di Jalan Kinarut Town.“Setakat ini kurang daripada 50 peratus daripada pokok yang dikenal pasti untuk ditebang telah dialihkan,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata DBKK menerima lebih enam laporan dalam tempoh dua tahun lalu berkaitan pokok tumbang melintangi Jalan Tuaran atau menghempap kenderaan di laluan berkenaan.
“Kami mahu mengurangkan potensi bahaya kepada orang ramai yang menggunakan jalan ini,” tambahnya.
Bagi Jalan Kinarut Town pula kakitangan JKR telah diminta supaya memberi perhatian lebih terhadap keadaan tumbuh-tumbuhan di sepanjang laluan berkenaan serta kawasan lain di sekitar pekan yang berada di bawah seliaan jabatan itu.
Jurucakap JKR berkata kakitangannya telah memeriksa keadaan bahu jalan di Jalan Kinarut Town beberapa hari selepas menerima maklumat mengenai kebimbangan yang dibangkitkan pengguna jalan raya berkenaan.
“Mereka mengesahkan terdapat pokok dan tumbuh-tumbuhan yang telah tumbuh terlalu lebat.
“Di sesetengah tempat, batang buluh sudah terlalu panjang sehingga mula melentur ke arah jalan,” maklumnya.
Beliau berkata Jalan Old Kinarut Town diselenggara oleh salah satu syarikat konsesi jabatan berkenaan.
Katanya syarikat terbabit telah dimaklumkan mengenai keadaan tumbuh-tumbuhan di sepanjang laluan itu dan diminta mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
“Sekumpulan kakitangan syarikat berkenaan dihantar ke bahagian jalan yang terjejas tidak lama selepas itu.
“Mereka menggunakan gergaji rantai mudah alih dan parang untuk memangkas rumpun buluh serta tumbuh-tumbuhan lain yang tumbuh terlalu lebat,” maklumnya.
Tumbuh-tumbuhan yang dipangkas itu kemudiannya dimuatkan ke dalam sebuah lori terbuka yang digunakan bagi melaksanakan kerja berkenaan.
Jurucakap itu berkata rizab jalan di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan, termasuk pokok-pokok di kawasan terbabit, diselenggara secara ad hoc apabila keadaan memerlukan.
Bagaimanapun jelanya kakitangan JKR telah diminta meningkatkan pemeriksaan terhadap jalan-jalan di bawah bidang kuasa mereka bagi memastikan orang awam tidak terjejas atau mengalami kesulitan akibat tumbuh-tumbuhan yang tumbuh terlalu lebat di kawasan berkenaan.






