RM12.8 juta barangan dirampas dalam Op Taring Alpha

21 Aug 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM12.8 juta barangan dirampas dalam Op Taring Alpha
Muhammad (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai rampasan ketika sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR -  Pelbagai barangan termasuk pokok bonsai bernilai kira-kira RM12.8 juta dirampas dalam dua operasi bersepadu membabitkan aktiviti penyeludupan di Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim, berkata Op Taring Alpha 2 pada 5 Ogos lalu membawa kepada penahanan tiga individu terdiri daripada dua warga Myanmar dan seorang warga tempatan.

"Kita melaksanakan serbuan di dua lokasi di Kuala Lumpur itu membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama serta produk makanan dan minuman dari China dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5.1 juta," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Muhammad berkata, antara rampasan ialah 112 tin dan 3,696 botol minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM2.57 juta, selain 4,092 botol minuman keras jenama Zongpi CR bernilai kira-kira RM2.7 juta.

“Turut dirampas pelbagai produk makanan dan minuman dari China bernilai kira-kira RM56,000,” katanya.

Beliau berkata, Op Taring Alpha 5 di Klang pada hari sama, seramai dua lelaki tempatan dan rampasan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM7.7 juta.

"Rampasan itu termasuk minuman keras dari China bernilai RM2.1 juta, 245 karton rokok putih bersamaan 49,000 batang bernilai hampir RM300,000 serta 1,800 topi keledar bernilai RM1.8 juta.

“Selain itu, kita merampas 780 set aksesori telefon bernilai RM936,000, produk kecantikan bernilai RM2.29 juta serta 260 pokok bonsai berpasu pelbagai saiz dan jenis bernilai RM260,000,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua premis dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pengumpulan sementara sebelum barangan diedarkan kepada pelanggan tempatan.

“Kebanyakan barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan menggunakan dokumen yang mengisytiharkan kandungan berbeza daripada barangan sebenar, manakala kegiatan itu dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan,” katanya.

Muhammad berkata, kejayaan kedua-dua operasi itu hasil kerjasama polis dengan pelbagai agensi penguat kuasa menerusi perkongsian maklumat dan risikan.

Dalam perkembangan berasingan Muhammad memaklumkan bagi tempoh Januari hingga 21 Ogos tahun ini, Jabatan KDNKA Bukit Aman telah menjalankan 240 serbuan di seluruh negara, dengan 413 individu ditahan dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM314 juta.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved