
SITIAWAN - Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta BMW di Taman Hijau, Kampung Koh, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, berkata pemilik kenderaan itu membuat laporan polis pada jam 1.54 tengah hari Jumaat selepas menemui empat kesan yang disyaki akibat tembakan pada keretanya.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.16 pagi ketika pengadu berada di dalam rumah sebelum terdengar beberapa bunyi dentuman kuat.
“Apabila keluar untuk memeriksa, lelaki itu mendapati terdapat empat kesan disyaki tembakan pada bahagian pintu sebelah kanan kereta BMW miliknya,” katanya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki menaiki sebuah motosikal tiba di lokasi sebelum menghampiri kenderaan berkenaan.
Salah seorang daripada mereka dipercayai melepaskan tembakan ke arah BMW itu sebelum kedua-dua suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti serta mengesan kedua-dua suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau WhatsApp 017-682 8005. - Getaran, 31 Oktober 2026






