TEMERLOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melarikan gelang emas bernilai RM5,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Ahmad Shah di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pemilik kedai emas terbabit (mangsa) kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam kedai sebelum didatangi lelaki terbabit berpura-pura sebagai pelanggan.
"Suspek kononnya mahu membeli seutas rantai tangan emas dan tertarik dengan salah satu barang kemas yang dipamerkan.
"Tanpa curiga, mangsa mengeluarkan rantai tangan emas seberat lapan gram dari rak pameran dan memberinya kepada suspek untuk dilihat," katanya.
**media[3505229]**
Mohd Nasyim berkata, selepas barang kemas itu berada di tangannya, suspek terus keluar melarikan diri.
"Suspek lari menggunakan kereta jenis Perodua Bezza warna hitam dengan pendaftaran RAS 6791 dipercayai palsu.
"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Jelas beliau, pihak polis yang kini giat mengesan suspek meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
"Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat di talian 09-2716222 sambungan 6026," katanya.
Kejadian itu tular selepas beberapa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik-detik suspek melarikan barang kemas itu dimuat naik dan dikongsi di beberapa platform media sosial.






