Polis kejar kenderaan disyaki kereta klon, tahan dua lelaki positif dadah

4 Oct 2026 • 8:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis kejar kenderaan disyaki kereta klon, tahan dua lelaki positif dadah
Gambar tular memaparkan beberapa MPV polis mengejar kenderaan yang dinaiki suspek.

AMPANG - Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan selepas polis mengejar sebuah kereta jenis Subaru dari Bukit Antarabangsa hingga ke kawasan Batu Caves, Gombak pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.36 pagi.

"Polis mengejar kenderaan berkenaan dari Jalan Wangsa, Bukit Antarabangsa ke arah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Kelang.

“Beberapa buah Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Ampang Jaya telah dikerahkan bagi membantu operasi mengejar kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Khairul Anuar berkata, operasi mengejar kenderaan itu berlanjutan hingga ke kawasan Batu Caves Gombak.

"Dua lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut berjaya ditahan.

"Siasatan lanjut mendapati kenderaan berkenaan disyaki kereta klon, manakala kedua-dua suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek dikehendaki berkaitan kes dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved