
KEPALA BATAS : Polis Pulau Pinang berjaya melupuskan pelbagai barangan kes bernilai RM13.6 juta membabitkan 2,436 kertas siasatan daripada tiga jabatan berasingan iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, bagi JSJ, sebanyak 271 kertas siasatan dari tahun 2019 hingga awal tahun ini dilupuskan termasuk 26 ekshibit berkaitan kontraban, tujuh barang kes Bitcoin serta 229 barang kes melibatkan kes-kes perjudian.
Katanya, antara barangan yang dilupuskan pula termasuk 177 buah mesin Bitcoin; 2,080 botol arak; 1,183 karton rokok, 30 mesin simulator, 108 alat pencetak mudah alih serta 122 telefon bimbit dengan nilai keseluruhan barangan tersebut dianggarkan hampir RM800,000.
“Kesemua barang kes ini telah mendapat perintah pelupusan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelupusan barang kes itu di Stor Barang Kes Pusat di sini, hari ini.
Dennis berkata, pelupusan barang kes bagi JSJN pula membabitkan sebanyak 2003 kertas siasatan dari 1997 hingga tahun ini dengan nilai keseluruhan barangan yang dilupuskan mencecah RM11.5 juta.
“Barang kes yang dilupuskan itu ialah 1,995 kilogram (kg) dadah dan ketum, 666 liter cecair berkaitan dadah serta peralatan yang digunakan untuk memproses dadah dengan anggaran berat kira-kira 500 kg.
“Antara senarai jenis dadah yang dilupuskan pula termasuk heroin, kanabis, ketamin, methamphetamine, pelbagai jenis pil dadah serta daun ketum,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi JSJK, pelupusan barangan membabitkan 162 kertas siasatan dengan nilai pelupusan dianggarkan mencecah kira-kira RM1.3 juta.
“Antara barangan kes yang dilupuskan di bawah JSJK ialah VCD (cakera padat video), poster, televisyen, sistem audio serta set meja yang digunakan dalam pelaksanaan kegiatan jenayah.
“Untuk barangan yang mempunyai unsur elektronik (e-waste) atau bahan kimia pula, ia akan diserahkam kepada syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dilupuskan mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” ujar beliau.-UTUSAN
The post Polis Pulau Pinang lupus pelbagai barang kes bernilai RM13.6 juta appeared first on Utusan Malaysia.






