
KEMAMAN – Polis Terengganu menafikan dakwaan kononnya melengahkan pendakwaan kes sekumpulan lelaki etnik Rohingya disyaki memperkosa seorang wanita kurang upaya (OKU) kategori intelektual di Kemaman yang sudah berlarutan sejak dua bulan lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, siasatan terperinci bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut masih giat dilakukan.
“Kita memahami kes ini mendapati perhatian dan menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat.
“Bagaimanapun, tindakan undang-undang bagi setiap kesalahan perlu dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan, bukti dan arahan pihak pendakwaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khairi memberi jaminan kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaan Raya untuk mendapat arahan selanjutnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu tiga daripada empat suspek etnik Rohingya tersebut telah didakwa atas kesalahan imigresen di Mahkamah Majistret di sini pada 30 Ogos lalu.
“Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 tidak dibenarkan jaminan dan sedang ditahan di depoh tahanan imigresen,” katanya.
Kosmo! 13 Ogos lalu melaporkan empat lelaki etnik Rohingya berusia dalam lingkungan 19 dan 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes jenayah seksual yang melibatkan mangsa berusia 23 tahun. – KOSMO! ONLINE
The post Polis nafi lengah kes Rohingya ‘sentuh’ wanita OKU appeared first on Kosmo Online.






