
LARUT – Polis telah merakam percakapan 10 saksi bagi membantu siasatan kes dua pelajar perempuan yang ditemukan maut di sebuah bangunan perumahan kosong di Buntong, bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, saksi yang dirakam keterangan terdiri daripada guru serta rakan-rakan terdekat mangsa.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian selain membantu pihak polis melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita telah merakam percakapan kira-kira 10 saksi termasuk pihak sekolah, guru-guru serta rakan-rakan terdekat mangsa. Selain itu, beberapa barangan milik mangsa turut dihantar kepada pihak forensik untuk pemeriksaan, namun keputusan masih belum diperoleh,” katanya.
Menurut Datuk Mohd Alwi, hasil siasatan awal setakat ini tidak menunjukkan kejadian berkenaan mempunyai unsur jenayah.
Terdahulu, media melaporkan keluarga dua remaja perempuan terbabit berhasrat mengambil tindakan perundangan selepas mendakwa terdapat unsur kecuaian dalam tragedi berkenaan.
Dakwaan itu dikaitkan dengan keadaan kawasan rumah pangsa 15 tingkat berkenaan yang didakwa tidak dipagar selain dipercayai seperti projek terbengkalai sehingga membolehkan orang ramai termasuk kanak-kanak memasuki kawasan tersebut secara bebas. – KOSMO! ONLINE
The post Polis rakam keterangan 10 saksi kes pelajar maut di bangunan kosong appeared first on Kosmo Digital.






