
IPOH – Seorang wanita dan dua anak perempuannya maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah rumah, di Bandar Baru Tambun, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 9.10 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis diatur gerak ke lokasi kejadian untuk siasatan.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati mangsa berusia 46 tahun dan dua anak masing-masing berusia 11 dan 12 tahun telah meninggal dunia di dalam bilik di rumah berkenaan.
“Pemeriksaan di bilik berkenaan menemui satu bekas dipercayai mengandungi sisa arang yang telah dibakar.
“Pemeriksaan pada mayat ketiga-tiga mangsa oleh pasukan forensik tidak menemui sebarang kecederaan mahupun unsur jenayah pada tubuh mereka,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, mayat tiga beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu, dua anak perempuan ditemukan maut dalam rumah appeared first on Kosmo Digital.






