Polis selesai siasat kemalangan maut konvoi RXZ

12 Aug 2026 • 7:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis selesai siasat kemalangan maut konvoi RXZ

Polis Pahang serah kertas siasatan kemalangan maut konvoi Yamaha RXZ berhampiran Plaza Tol Jabor kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan.

KUANTAN: Polis telah melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan berhubung kemalangan maut konvoi motosikal Yamaha RXZ yang mengorbankan empat nyawa pada bulan lepas, kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat TPR semalam, selepas pihaknya selesai mengambil keterangan daripada 13 penunggang motosikal terlibat dalam kejadian itu, termasuk beberapa mangsa yang menerima rawatan di hospital.

“Semua penunggang yang cedera, termasuk seorang lelaki berusia 34 tahun yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), telah dibenarkan pulang ke Terengganu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Terdahulu, Azry Akmar menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang daripada Asisten Komisioner Tan Yong Wee kepada Deputi Superintenden Azrol Effandy Majid yang akan memangku jawatan berkenaan.

Pada 11 Julai lepas, satu kemalangan membabitkan lebih 30 motosikal yang dipercayai bergerak secara konvoi berlaku berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor di Lebuhraya Pantai Timur di sini kira-kira 1.20 pagi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila seorang daripada penunggang motosikal merempuh bahagian belakang sebuah Toyota Vios, sebelum berlaku perlanggaran berantai apabila penunggang lain gagal mengelak dan merempuh antara satu sama lain.

Rentetan kejadian itu, empat penunggang maut dan sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera.

Dalam perkembangan lain, Azry Akmar berkata tindakan seorang pekerja binaan warga Bangladesh berusia 25 tahun yang terjun ke laut ketika pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia di Tanjung Lumpur di sini pada Isnin lepas, adalah disebabkan panik meskipun memiliki dokumen perjalanan serta permit kerja sah.

“Dia secara spontan terjun ke laut berhampiran tapak pembinaan kerana mendakwa terlalu takut apabila melihat ramai anggota dan pegawai penguat kuasa. Pemeriksaan kemudian mendapati dia mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah,” katanya.

Beliau berkata tindakan lelaki itu mencetuskan operasi mencari dan menyelamat selama kira-kira tujuh jam membabitkan lebih 20 anggota pelbagai agensi, sebelum dia ditemukan selamat di kuarters pekerja pada 5.30 petang hari sama.

Azry Akmar berkata lelaki itu dipercayai berenang sejauh beberapa kilometer dari tapak pembinaan dia bekerja menuju ke Pantai Tembeling di sini sebelum kembali ke kuarters pekerjanya dalam keadaan selamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved