
TELUK INTAN: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Plaza Tol Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 6.32 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya anggota dan jentera di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori 25 tan tanpa muatan, Toyota Vellfire dan Honda HR-V.
“Pemeriksaan mendapati terdapat dua wanita di dalam kereta Toyota Vellfire di mana pemandu wanita berusia 59 tahun cedera parah dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Seorang lagi wanita berusia 54 tahun yang merupakan penumpang hadapan kereta tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans
“Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu Honda HR-V mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu lori berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN
The post Wanita maut nahas tiga kenderaan di WCE appeared first on Utusan Malaysia.






