Sembilan ditahan, dadah bernilai RM7.93 juta dirampas

20 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sembilan ditahan, dadah bernilai RM7.93 juta dirampas

JOHOR BAHRU: Taktik sindiket pengedaran dadah menjadikan kawasan perumahan mewah dalam kawasan berpagar dan berpengawal keselamatan sebagai stor simpanan dadah dibongkar polis Johor menerusi tiga serbuan berasingan di bandar raya ini, minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, perkara itu terbongkar selepas pihaknya menemukan lebih daripada 60 kilogram (kg) dadah bernilai RM7.93 juta di premis-premis terlibat.

Katanya, operasi yang dijalankan pada pukul 3.45 petang, 12 Ogos lalu itu turut membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan seorang wanita warganegara asing berusia antara 35 hingga 65 tahun.

“Serbuan pertama di Masai menyaksikan tiga lelaki ditahan dengan 39.809 kg serbuk disyaki MDMA; 4.91 kg ketamin; 13,400 biji pil Eramin 5 seberat 3.85 kg; 216 gram syabu, 22.72 kg serbuk disyaki ekstasi serta dua mesin yang dipercayai digunakan untuk memproses ekstasi selain peralatan pembungkusan semula dadah dirampas.

“Serbuan kedua di sebuah rumah rakit di Masai pula membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan dan 572 gram serbuk disyaki ekstasi dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Chuan Huat berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah di Ulu Tiram pula menyaksikan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita asing ditahan, manakala 230 katrij cecair disyaki syabu sebanyak 0.575 liter; 1.149 kg serbuk ekstasi; 358 gram syabu; 9,625 biji pil Eramin 5 seberat 1.925 kg serta 18.4 liter cecair disyaki ketamin dirampas.

“Sindiket-sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Januari lalu dan jika kesemua dadah itu kekal dalam pasaran, ia boleh digunakan seramai 323,841 penagih,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kesemua suspek direman sehingga 25 Ogos ini dengan ujian urin mendapati kesemua mereka positif methamphetamine.

“Selain itu, polis turut menyita lima kereta, dua bot laju serta wang tunai sy RM11,320 dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM8.14 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

The post Sembilan ditahan, dadah bernilai RM7.93 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved