
Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasek Tambahan, awal pagi Sabtu.
Seorang lelaki disyaki curi kabel di Kampung Tasek Tambahan
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 3.59 pagi pada 19 Sept.
"Susulan maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Ampang bersama unit MPV SL 812 tiba di lokasi kira-kira 4.18 pagi dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menarik keluar kabel dari sebuah manhole.
"Kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki yang kemudian ditahan, manakala barangan berkaitan turut dirampas sebelum suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Ampang untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga:Beliau berkata polis turut mengesan satu hantaran video berkaitan kejadian berkenaan yang tular di aplikasi TikTok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Seksyen 431A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 124K memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun.
Bagi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Khairul Anuar memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan atau menyalurkannya kepada pihak polis.
"Kes masih dalam siasatan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan kandungan tidak sahih atau mengambil tindakan sendiri berkaitan kejadian ini," katanya.






