Polis tahan lelaki mabuk larikan kenderaan e-hailing, pandu lawan arus

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana memandu secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Kilometer 0.7, Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya, awal pagi semalam. Foto hiasan

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana memandu secara melawan arus dalam keadaan mabuk di Kilometer 0.7, Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner  Shamsudin Mamat berkata lelaki itu ditahan pada jam 2.10 pagi oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi apabila suspek memandu kenderaan secara melawan arus sebelum ditahan di lokasi berkenaan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan turut melarikan sebuah kenderaan e-hailing susulan salah faham dengan pemandu kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, individu berkenaan kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor M. Sivam di talian 017-329 0749 atau IPD Petaling Jaya di 03-7966 2222 bagi membantu siasatan. - Bernama