
KUALA LUMPUR: Polis menerima dua laporan berkaitan tiga kejadian membabitkan seorang wanita didakwa mengganggu pengunjung dan pelanggan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, laporan pertama diterima pada kira-kira pukul 7.59 malam tadi daripada pengurus bangunan pusat beli-belah berkenaan.
Katanya, laporan itu berkaitan tiga kejadian melibatkan seorang wanita dipercayai mengganggu pengunjung dan pelanggan di premis berkenaan.
“Polis turut menerima satu laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa wanita terbabit bertindak menolak dan memukul dua anaknya dalam kejadian pada hari sama.
“Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis memandang serius sebarang perlakuan berbentuk kekerasan, ugutan dan gangguan terhadap orang awam, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Ujar beliau, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Tular semalam video menunjukkan seorang wanita dan lelaki di pusat beli-belah di ibu negara dilihat berselisih faham.
Difahamkan ia berlaku akibat seorang wanita dipercayai mengasari kedua-dua anak lelaki terbabit.
Wanita tersebut dipercayai menolak kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari arah belakang sehingga terjatuh serta memukul bahagian belakang kepala kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. – UTUSAN
The post Polis terima 2 laporan wanita didakwa ganggu, pukul pengunjung pusat beli-belah appeared first on Utusan Malaysia.






