
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu mengenai Polisi Perlindungan Murid Sekolah nyata mendapat perhatian dan menjadi bualan ramai termasuklah Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP).
Namun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan di Facebook semalam (13 Ogos) meminta agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi penjelasan secara menyeluruh berhubung isu berkenaan.
Polisi Perlindungan Murid Bukan Jadikan Guru Kambing Hitam Atau Sebagai Pihak Yang Akan Dipersalahkan
Terbaharu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan polisi terbabit bukanlah bertujuan untuk menjadikan warga pendidik sebagai golongan yang akan dipersalahkan.
Sebaliknya, tanggungjawab melindungi keselamatan dan kesejahteraan murid adalah melibatkan keseluruhan ekosistem dan tidak hanya terletak pada bahu guru sepenuhnya.
Ia termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kepimpinan sekolah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ibu bapa.
“Polisi ini bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan apabila sesuatu berlaku. Apatah lagi untuk menjadikan guru sebagai kambing hitam.
“Kita ingin lindungi murid, kita ingin lindungi guru, kita ingin ekosistem sekolah yang selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhlina menegaskan perkara itu apabila pelaksanaan polisi terbabit dilihat telah menimbulkan kebimbangan segelintir guru dan ibu bapa khususnya mengenai tanggungjawab serta tindakan yang akan diambil berhubung isu keselamatan dan kebajikan murid.
KPM Akan Teruskan Sesi Libat Urus Agar Semua Persoalan Terjawab
Jelas Fadhlina lagi, antara kegusaran terbesar yang disuarakan oleh golongan pendidik adalah mengenai tanggungjawab mereka jika berlalu sesuatu terhadap murid.
Tambahnya, ada guru yang bimbang mengenai tindakan yang perlu diambil apabila menerima aduan selain turut merasakan penerangan mengenai polisi terbabit masih belum mencukupi.
“Saya dengar semua kegusaran ini. Sebab itu saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas,” katanya.
KPM Dah Adakan Perbincangan Dengan Pemegang Taruh Sebelum Polisi Dibentuk – Fadhlina
Tambah Fadhlina lagi, langkah tersebut bukanlah bermaksud polisi itu dibentuk tanpa perbincangan.
Sebaliknya, KPM sebelum ini telahpun mengadakan perbincangan bersama pelbagai pemegang taruh.
Antara yang terlibat adalah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), NUTP, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), UNICEF, ARUS Academy, Buku Jalinan Chow Kit dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun jelas Fadhlina, sekiranya masih ada guru yang belum jelas dan bimbang selepas sesi libat urus terbabit, pihaknya menganggap penerangan itu masih belum selesai.
“Sesi penerangan seterusnya akan bermula malam ini dan rakamannya juga akan dimuat naik supaya ia boleh dirujuk oleh guru-guru,” ujarnya.
Guru Tak Perlu Tunggu Bukti Lengkap Sebelum Buat Laporan
Pada masa sama, Fadhlina menjelaskan sekiranya wujud kebimbangan mengenai keselamatan murid, guru tidak perlu menunggu sehingga bukti lengkap untuk membuat laporan.
“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor.
“Selepas itu, kes perlu diselaraskan, tindakan ditentukan mengikut jenis dan tahap kes serta dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan,” katanya.
Jelas Fadhlina lagi, selain memastikan murid tidak mengalami trauma akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya, tatacara itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan kepada guru mengenai tindakan yang perlu diambil.
Fadhlina Beri Jaminan Guru Tidak Akan Dibiarkan Bersendirian
Malah, dia turut memberi jaminan bahawa guru tidak akan dibiarkan sendirian ketika sedang melaksanakan tanggungjawab terhadap murid.
“Kita tidak mahu guru dibiarkan bersendirian ketika melindungi murid dan kita juga tidak akan membiarkan guru-guru kita menghadapi ujian bersendirian.
“KPM sentiasa peka dan bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan kes,” katanya.
Jelas Fadhlina lagi, penerangan serta sesi libat urus perlu diteruskan sehingga golongan pendidik benar-benar memahami peranan, batas tanggungjawab serta tindakan yang perlu diambil ketika berdepan dengan sesuatu kes.
“Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan:
Polisi Perlindungan Murid: Fadhlina Mohon Beri KPM Ruang Perjelas Secara Menyeluruh






