
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Difahamkan wujud paksaan untuk menandatangani Aku Janji polisi tersebut sehingga menimbulkan persoalan dan kegusaran ramai khususnya golongan pendidik.
Malah, isu tersebut turut mendapat perhatian Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP).
Fadhlina Mohon Guru Bertenang, Beri Ruang Kepada KPM Perincikan Pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid
Semalam (13 Ogos), Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memohon golongan guru untuk bertenang dan memberi ruang kepada KPM memperincikan pelaksanaan polisi berkenaan.
Jelas Fadhlina, dasar itu dirangka bagi memberi perlindungan kepada pihak yang terlibat dan berurusan dengan murid.
“Polisi ini merujuk kepada perlindungan kepada semua yang terlibat dan berurusan dengan murid.
“Keutamaan KPM adalah untuk melindungi semua murid, guru dan seluruh warga sekolah.
“Sekiranya terjadi sesuatu insiden di sekolah, polisi ini memberi panduan yang terperinci berkaitan tanggungjawab semua pihak dan cara untuk menanganinya,” katanya.
Sesi Khas Bersama Ketua Pengarah Pendidikan & Penasihat Undang-Undang Akan Diadakan
Tambah Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, satu sesi khas akan diadakan bersama Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang KPM bagi menjawab segala kebimbangan yang dizahirkan oleh golongan guru.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Penasihat Undang-Undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru-guru.
“Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya.
Kesatuan Guru Sokong Usaha KPM Namun Berpendapat Tidak Wajar Paksa Guru Sign Aku Janji
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) menjelaskan pihaknya menyambut baik usaha KPM dalam memastikan murid berada dalam keadaan selamat dan dilindungi ketika berada di sekolah.
Namun jelas Setiausaha Agong NUTP, Fouzi Singon dalam satu kenyataan, pihaknya berpendapat keperluan guru menandatangani Aku Janji itu adalah tidak wajar dan menidakkan usaha guru yang selama ini memberi terbaik dalam perkhidamatan mereka.
“Walau bagaimanapun, mewujudkan paksaan kepada guru untuk menandatangi Aku Janji kepatuhan polisi perlindungan murid melalui SPI ini adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan menidakkan usaha guru selama ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dalam aspek perlindungan kepada mereka.
“Pihak NUTP berpandangan bahawa polisi yang aku janjinya ditandatangani oleh guru ini akan merisikokan guru dan menjadi penguat kepada sesiapa yang menjadi plaintif dalam saman sivil kepada guru yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.
NUTP Sedang Usaha Adakan Rundingan Bersama KPM
Malah, NUTP juga memaklumkan mereka sedang dalam usaha untuk mengadakan rundingan bersama KPM agar Aku Janji itu ditarik balik dan digantikan dengan elemen yang lebih profesional.
Untuk info, pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid telah diumumkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bertarikh 1 Julai lalu.
Ia mewajibkan warga sekolah dan pihak luar yang mempunyai urusan dengan sekolah serta warganya menandatangani Surat Aku Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah sebagai bukti komitmen terhadap keselamatan pelajar.
SPI itu turut menggariskan lima fokus utama reformasi pendidikan iaitu:
- Kesihatan mental
- Pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial
- Keganasan seksual kanak-kanak dan pencegahan barang terlarang
- Polisi perlindungan murid
- Kebajikan guru serta suara murid
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Kacau Kami” – Fadhlina Sidek Mohon Beri Ruang Laksana Minggu Solidariti Palestin
Baca Artikel Berkaitan: Kes Zara Qairina Buka Mata Aspek Keselamatan Di Sekolah, Hanya 28% CCTV Berfungsi – Menteri Pendidikan






