Polisi Perlindungan Murid lindungi semua pihak terlibat

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 8:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polisi Perlindungan Murid lindungi semua pihak terlibat

KUALA LUMPUR: Polisi Perlindungan Murid Sekolah bertujuan melindungi semua pihak yang terlibat dan berurusan dengan murid, termasuk guru serta seluruh warga sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau memahami kegusaran yang disuarakan oleh guru-guru berhubung pelaksanaan polisi berkenaan dan meminta mereka supaya bertenang serta memberi ruang kepada KPM untuk memberikan penjelasan secara menyeluruh.

Katanya, keutamaan kementerian adalah memastikan perlindungan menyeluruh kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah.

“Polisi ini merujuk kepada perlindungan kepada semua yang terlibat dan berurusan dengan murid. Keutamaan KPM adalah untuk melindungi semua murid, guru dan seluruh warga sekolah.

“Sekiranya berlaku sesuatu insiden di sekolah, polisi ini menyediakan panduan yang terperinci berkaitan tanggungjawab semua pihak dan cara untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata, KPM komited memastikan setiap pelaksanaan polisi dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.

Jelasnya, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Penasihat Undang-Undang KPM mengadakan sesi khas bersama pemegang taruh bagi menjawab serta meneliti setiap kebimbangan yang dibangkitkan oleh guru-guru.

Katanya, sesi tersebut akan memberi ruang kepada semua pihak untuk memahami pelaksanaan polisi berkenaan secara lebih jelas dan menyeluruh, selain memastikan sebarang isu dapat ditangani dengan baik.

“Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat,” katanya.

Ketika ini, beberapa guru menyatakan keresahan akan perkara tersebut dalam media sosial.

Antaranya, cikgujoe_sjkc bertanya, mengapa tanggungjawab itu diletakkan ke atas guru.

“Contoh kalau saya guru sekolah rendah ada murid istimewa suka tantrum dan pukul orang. Kalau tiba-tiba dia pukul orang sampai cedera adakah saya kena tanggung? Atau dia sendiri tiba-tiba berlari terjatuh dan cederakan diri sendiri saya juga perlu tanggung?

“Sedangkan itu salah ibu bapa yang tidak mahu tempatkan anak di PPKI. Dan salah kerajaan tidak sediakan kelas PPKI yang mencukupi?” soalnya.

Selain itu, haziq.mahmur turut berkata, jika guru perlu menandatangani pekeliling keselamatan pelajar, ia akan meletakkan tanggungjawab penuh kepada guru.

“Kesannya selepas ini, kalau apa-apa berlaku pada pelajar di kawasan sekolah, beban tanggungjawab terletak pada guru 100 peratus bukan pada KPM.

“Kalau kena saman, KPM tidak bertanggungjawab, tetap guru. Sebab dah tanda tangan pekeliling tu. Ada cikgu boleh sahkan? – UTUSAN

The post Polisi Perlindungan Murid lindungi semua pihak terlibat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved