
Kota Kinabalu: Peranan politeknik semakin penting dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri negara yang semakin meningkat, sesuai dengan kehendak kerajaan menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi.
Ini terbukti apabila Politeknik Kota Kinabalu (PKK), sebagai institusi pengajian tinggi teknikal utama, melahirkan 893 graduan berkemahiran tinggi di Majlis Konvokesyen Ke-28 di Dewan Rafflesia PKK baru-baru ini.
Majlis penyampaian diploma sesi pertama disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, sementara sesi kedua oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri PKK Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd.
Dalam ucapannya, Ag Buhtamam berkata beliau bangga PKK telah membuktikan kejayaannya dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri masakini.
SPONSORED CONTENT Sinyi Group Founder, Chou Chun-Chi, Wins 2024 Asia Pacific Enterprise Award and Expands Sustainable Tourism Ventures in Sabah, Malaysia Kota Kinabalu: The 2024 Asia Pacific Enterprise Awards, hosted by Enterprise Asia, aims to recognize the most outstanding business leaders and organizations in the Asia-Pacific region. Read more “Pencapaian kebolehpasaran graduan sebanyak 98.3 peratus pada 2023 adalah bukti bahawa graduan politeknik bukan sahaja mempunyai pengetahuan akademik, tetapi juga kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan komunikasi.
“Kejayaan ini didorong oleh pelbagai inisiatif kolaborasi dengan industri serta penyesuaian kurikulum yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan secara holistik dan berterusan, bagi memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat bersaing di peringkat global, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, serta bersedia menghadapi perubahan industri masa kini dan akan datang.
Sementara itu, Pengarah PKK Md Nor Abdul Halim, dalam ucapannya berkata majlis konvokesyen ini adalah simbol kejayaan graduan yang bekerja keras sepanjang pengajian mereka.
“Kejayaan ini juga tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu ibu bapa serta keluarga yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan graduan,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pensyarah dan tenaga pengajar atas komitmen serta dedikasi mereka dalam memastikan pencapaian akademik hampir mencecah 100 peratus bagi sesi pengajian 2022/2023.
Di samping itu, beliau turut menyentuh kolaborasi strategik antara PKK dan rakan industri yang berterusan dalam memastikan kebolehpasaran graduan serta kualiti pendidikan yang ditawarkan terus berada pada tahap tertinggi.
Majlis Konvokesyen Ke-28 ini menyaksikan graduan dari pelbagai bidang seperti Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik, Perdagangan, serta Pelancongan dan Hospitaliti menerima Sijil dan Diploma masing-masing.
Sehingga kini, Politeknik Kota Kinabalu melahirkan seramai 28,128 graduan yang terus menyumbang kepada pelbagai sektor industri di Malaysia dan luar negara.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

