Srikandi Keadilan perlu bermuhasabah selepas kekalahan

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Srikandi Keadilan perlu bermuhasabah selepas kekalahan

Image from: Srikandi Keadilan perlu bermuhasabah selepas kekalahan

MELAKA: Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu berani bermuhasabah selepas berhadapan kekalahan dan mengakui kelemahan sendiri sebelum bangkit semula dengan lebih kuat.

Ketua Srikandi Keadilan, Nurhidayah Che Rose berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan memberi mesej jelas bahawa parti bukan sahaja perlu meraikan kemenangan, malah lebih berani menilai kelemahan apabila berdepan kekalahan.

“Selepas segala pengorbanan itu, kita perlu bertanya, apa yang mesti kita lakukan secara berbeza selepas ini?

“Kita perlu berani mengakui kelemahan sendiri daripada soal kesiapsiagaan jentera, komunikasi, kekuatan organisasi sehinggalah bagaimana kita mempersiapkan calon,” katanya pada sesi penggulungan Kongres Nasional Tahunan Wanita Keadilan Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Nurhidayah berkata, kekalahan juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menuding jari kepada pihak lain, sebaliknya parti perlu melihat semula kelemahan dalam organisasi sendiri.

Katanya, gerak kerja menghadapi pilihan raya juga tidak boleh bermula hanya selepas tarikh pilihan raya diumumkan atau calon ditentukan.

“Pilihan raya bermula sehari selepas pilihan raya sebelumnya berakhir kerana rakyat tidak menunggu musim pilihan raya untuk menilai kita.

“Rakyat melihat siapa yang hadir ketika mereka susah, siapa yang mengangkat telefon ketika mereka memerlukan bantuan dan siapa yang tetap bekerja walaupun tiada kamera di hadapan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih ramai pemimpin wanita muda perlu dibina dan diberikan peluang untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti pada masa depan.

Katanya, golongan muda tidak seharusnya sekadar menjadi pelengkap dalam organisasi, sebaliknya perlu didedahkan kepada gerak kerja sebenar termasuk mendampingi rakyat, mengurus organisasi dan memahami dasar parti.

Pada masa sama, Nurhidayah mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya menuntut ruang dalam kepimpinan, tetapi membuktikan kemampuan apabila diberikan peluang.

“Jangan hanya meminta ruang. Buktikan kita layak mengisi ruang itu. Keberanian mesti datang bersama ilmu. Kelantangan mesti datang bersama disiplin. Cita-cita mesti datang bersama kerja dan peluang mesti dibalas dengan prestasi,” katanya. – UTUSAN

The post Srikandi Keadilan perlu bermuhasabah selepas kekalahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved