Pos Malaysia Run 2026 tampil kategori 21km

30 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pos Malaysia Run 2026 tampil kategori 21km

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Run 2026 kembali dengan kelainan apabila memperkenalkan kategori baharu 21 kilometer (21km) bagi edisi ketiga acara larian berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, di sini pada 29 November 2026.

Penganjuran tahun ini menya­sarkan penyertaan sehingga 10,000 peserta menerusi tema Jom Laju For Fun!, sekali gus menjadikan acara berkenaan bukan sekadar platform menggalakkan gaya hidup sihat, malah medan menghimpunkan masyarakat menerusi aktiviti kecergasan dan semangat komuniti.

Sasaran itu merupakan pe­ningkatan ketara berbanding lebih 7,000 pelari yang menyertai acara sama tahun lalu, memperlihatkan usaha syarikat untuk terus memperkukuh kedudukan Pos Malaysia Run dalam kalendar acara larian negara.

Mengambil inspirasi daripada perjalanan harian penghantar surat dan kurier Pos Malaysia yang merentasi pelbagai lokasi bagi memastikan individu serta perniagaan di seluruh negara terus berhubung, acara ini membawa semangat pergerakan, kegigihan dan kebersamaan dalam mencapai satu tujuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, pengenalan kategori 21km Terbuka dan Veteran menjadi tarikan utama pada edisi kali ini bagi memenuhi perkembangan komuniti pelari di Malaysia.

Menurut beliau, kategori ber­kenaan melengkapkan kategori 10km Terbuka dan Veteran yang dikekalkan, selain Fun Run sejauh 5.5km untuk peserta individu serta pasukan empat orang.

“Pos Malaysia Run mencerminkan peranan kami dalam membina kepercayaan, menghubungkan komuniti dan memastikan negara terus bergerak.

“Seperti Pos Wira kami yang menghubungkan individu dan perniagaan setiap hari, acara ini menghimpunkan rakyat Malaysia menerusi komitmen bersama terhadap kesihatan, kesejahteraan dan komuniti,” katanya.

Image from: Pos Malaysia Run 2026 tampil kategori 21km
Pos Malaysia prihatin terhadap kelestarian dan mengguna pakai bahan kitar semula untuk pingat.

Tambah beliau, pemilihan Dataran Merdeka sebagai lokasi permulaan Pos Malaysia Run 2026 turut memberi makna tersendiri memandangkan kawasan itu mempunyai nilai sejarah dan kepenti­ngan nasional kepada rakyat Malaysia.

“Bermula dari Dataran Merdeka, sebuah tempat yang merupakan lokasi penanda 0 km yang ikonik Kuala Lumpur, turut menjadikan perjalanan ini lebih bermakna. Ia mengingatkan kita bahawa setiap hubungan dan perjalanan bermula dengan kepercayaan,” katanya.

Untuk edisi 2026, peserta yang mahu mengejar kedudukan po­dium berpeluang merebut keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM20,800.

Acara itu bakal diserikan dengan suasana seperti karnival apabila peserta akan melalui beberapa mercu tanda terkenal Kuala Lumpur, selain berpeluang menyertai permainan interaktif dan pelbagai aktiviti sepanjang laluan larian.

Bagi peserta yang mendaftar, mereka akan menerima baju la­rian rasmi, bib, pingat penamat dan e-sijil. Peserta yang berjaya menamatkan kategori 21km pula akan menerima tuala penamat dan baju.

Peserta juga boleh memilih pakej barangan premium pada harga RM48 yang merangkumi stoking berinspirasikan Pos Malaysia, kipas mini mudah alih dan beg tote tenunan, selain barangan eksklusif.

Image from: Pos Malaysia Run 2026 tampil kategori 21km
Pos Malaysia sedang membuka penyertaan kepada semua untuk menyertai acara larian yang menawarkan hadiah menarik.

Lebih istimewa, aspek kelesta­rian turut diterapkan dalam pe­nganjuran acara ini, merangkumi ­penyediaan kelengkapan peserta dan pengurusan operasi acara.

Antaranya, baju larian rasmi dihasilkan daripada poliester kitar semula, manakala pingat bagi peserta yang menamatkan larian diperbuat daripada bahan kitar semula, termasuk pengikat kabel terpakai daripada operasi Pos Malaysia.

Selain itu, sepanduk dan bahan promosi terpilih akan disalurkan untuk proses guna semula atau dikitar semula selepas acara, manakala pengasingan sisa turut dilaksanakan bagi menyokong pe­ngurusan pelupusan yang lebih bertanggungjawab pada hari larian.

Pendaftaran Pos Malaysia Run 2026 kini dibuka menerusi Race Roster dengan jumlah penyertaan dihadkan kepada 10,000 pelari.
Pos Malaysia Run 2026 ditaja oleh FWD, EON, Counterpain, Reebok, Spin Sportswear, Sunway Lagoon Theme Park, NatureLoop, Solarvest, ZUS Coffee, Jasmine, MILO, NUTOX, Ribena dan Budget Malaysia (AVIS).

Acara itu turut mendapat soko­ngan daripada Pride by Prasarana, Malaysia Association of Hotels, Malaysia Convention and Exhibition Bureau serta Visit Malaysia Year 2026.

Lebih daripada sekadar acara la­rian, Pos Malaysia Run 2026 menjadi platform yang mengetengahkan pergerakan, daya tahan dan hubu­ngan dalam kalangan masyarakat, selari dengan peranan Pos Malaysia dalam menghubungkan rakyat, perniagaan dan komuniti.

 

 

 

The post Pos Malaysia Run 2026 tampil kategori 21km appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved