Postpartum Depression: Depresi selepas bersalin

Health & Fitness
1 Sep 2026 • 12:00 PM MYT
Public Health M'sia
Public Health M'sia

Public Health M'sia shares simple, relatable health education.

Image from: Postpartum Depression: Depresi selepas bersalin
Gambar: Public Health M'sia

Kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression masih menjadi masalah kesihatan yang sering terlepas pandang dalam keluarga.

Apabila bayi dilahirkan, seluruh perhatian segera beralih kepada bayi.

“Bayi cukup susu?”

“Berat naik?”

“Tidur lena?”

“Kenapa nampak kuning?”

Namun jarang ada yang memandang ibu dan bertanya,

“Awak sebenarnya okay tak?”

Di sebalik gambar ibu mendukung bayi, ada tubuh yang masih berdarah, luka jahitan yang belum sembuh, payudara yang sakit dan tidur yang terputus-putus.

Malam bayi menangis, ibu bangun sendirian kerana suami perlu bekerja keesokan harinya.

Siang pula tetamu datang. Ibu perlu bangun, menutup aurat, keluar tersenyum dan melayan orang walaupun tubuhnya hanya mahu berehat.

Kemudian mulalah komen yang tidak diminta.

“Susu tak cukup kot.”

“Badan masih besar.”

“Dulu mak beranak ramai, okay sahaja.”

“Jangan manjakan diri sangat.”

“Patutnya bersyukur dapat anak.”

Sedikit demi sedikit, seorang ibu boleh mula tenggelam tanpa sesiapa menyedarinya.

Postpartum depression bukan tanda ibu lemah, kurang bersyukur atau gagal menjadi ibu. Ia merupakan keadaan kesihatan yang memerlukan sokongan, penilaian dan rawatan.

Lima tindakan ini boleh membantu mengurangkan beban serta risiko ibu:

1. SUAMI AMBIL SHIFT MALAM

Jika ibu menyusukan bayi, suami boleh ambil alih selepas itu. Tukar lampin, sendawakan bayi, tidurkan semula dan basuh botol atau peralatan pam.

Jangan tunggu isteri meminta bantuan. Lihat apa yang perlu dibuat dan terus buat.

2. LINDUNGI WAKTU TIDUR IBU

Usahakan sekurang-kurangnya satu blok rehat selama dua hingga tiga jam setiap hari.

Pada waktu itu, ahli keluarga menjaga bayi dan anak-anak lain. Jangan kejutkan ibu hanya kerana tetamu datang, pakaian belum berlipat atau rumah belum dikemas.

3. TETAMU DATANG UNTUK MEMBANTU

Datanglah membawa lauk, buah atau barang dapur. Basuh pinggan, buangkan sampah atau jagakan anak yang lain.

Jangan duduk berjam-jam, menunggu air dihidangkan dan meninggalkan rumah bersepah untuk ibu kemaskan.

Jika tidak dapat membantu, pendekkan lawatan.

4. JANGAN SEKSA IBU ATAS NAMA PANTANG

Jangan catu air, beri makanan terlalu sedikit atau paksa ibu duduk dalam keadaan panas dan tidak selesa.

Sediakan makanan lengkap, protein, sayur, buah dan air yang mencukupi. Rawat kesakitan dan beri ibu ruang yang nyaman untuk pulih.

Pantang sepatutnya membantu pemulihan, bukan menjadi hukuman.

5. TANYA KEADAAN EMOSI IBU SETIAP HARI

Tanya secara terus:

“Awak dapat tidur tak?”

“Awak rasa terlalu sedih atau cemas?”

“Ada rasa mahu lari, menghilang atau mencederakan diri?”

Jika ibu kerap menangis, tidak mampu tidur walaupun bayi sedang tidur, rasa dirinya tidak berguna, hilang minat, sukar menjaga diri atau bayi, atau keadaan berterusan melebihi dua minggu, bawa ibu mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan atau hospital.

Jika ibu mahu mencederakan diri atau bayi, mendengar suara, melihat sesuatu yang tiada atau menjadi sangat keliru, jangan tunggu. Bawa ke Jabatan Kecemasan atau hubungi 999.

Jangan tunggu ibu rebah di hadapan mata baru mahu percaya bahawa dia sedang tenggelam.

Ada ibu yang masih memandikan bayi, membasuh pakaian dan tersenyum dalam gambar, sedangkan dalam diam dia hanya mahu menghilang.

Selepas bersalin, keluarga bukan sekadar menerima seorang bayi.

Keluarga juga menerima seorang wanita yang sedang terluka, keletihan dan sangat memerlukan penjagaan.

Jangan datang hanya untuk mendukung bayi.

Datanglah untuk mendukung ibunya.


Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved