Pada minggu lepas, kami telah melaporkan tentang Sennheiser Momentum True Wireless 5 yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran global. Terkini, Sennheiser Malaysia baru sahaja mengesahkan bahawa pra-tempahan untuk fon telinga ini akan dibuka tidak lama lagi.

Fon telinga ini merupakan TWS pertama dengan bateri putik telinga dan pod pengecas yang boleh digantikan dengan mudah. Kedua-dua komponen mempunyai skru yang membolehkan bateri diakses apabila diperlukan. Ini jauh berbeza dengan rekaan menggunakan gambar yang membuatkan proses gantian mustahil. Ciri ini diberikan Sennheiser bagi memenuhi keperluan EU yang mewajibkan bateri peranti elektronik boleh digantikan sendiri oleh pemilik.
Selain bateri mudah diganti, Momentum True Wireless 5 hadir dengan pemandu audio 7mm TrueResponse. Terdapat sokongan aptX Lossless dan Dolby Atmos bersama penjejakan kepala. Enam mikrofon dan 2 accelerometer disertakan untuk menyokong ANC serta memberikan kualiti audio perbualan yang baik.

Hayat bateri adalah sehingga 12 jam tanpa ANC dan 40 jam dengan bantuan pod pengecas. Setiap putik telinga melepasi piawaian percikan air IP54 membolehkan ia kalis peluh semasa bersenam. Tambatan adalah menerusi Bluetooth 6.0 dengan sokongan sistem Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair.
Menurut siaran media yang diperlihatkan untuk pasaran Malaysia, dan juga laporan daripada LowYat.Net, pra-tempahan fon telinga Sennheiser Momentum True Wireless 5 akan diperkenalkan pada 27 Ogos 2026 melalui kedai atas talian mereka dan juga pengedar-pengedar rasmi produk Sennheiser. Jualan terbuka akan bermula pada 3 September 2026.
Sumber: LowYat.Net






