
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial hantaran yang memaparkan sebuah premis perindustrian di Kulai Johor memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri dalam keadaan terbalik.
Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam dan mahu pihak berkaitan mengambil tindakan terhadap premis berkenaan.
View on Threads
Premis Tular Pasang Jalur Gemilang & Bendera Negeri Johor Diarah Tutup
Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Haji Mohd Jafni Md Shukor mendedahkan premis berkenaan telah diarah tutup buat sementara sehingga syarikat berkenaan memberi penjelasan berhubung isu terbabit.
Jelas Mohd Jafni dalam satu hantaran di Facebook, kedua-dua bendera yang dipasang itu juga telah dibetulkan dengan segera.
“Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.
“Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
“Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan serta menyelaras perkara ini bersama MPKU dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan segera mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kongsinya.
Pengarah Syarikat Juga Akan Dipanggil Beri Keterangan
Tambah Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung insiden terbabit dan pengarah syarikat berkenaan juga akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diberi penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.
“Tindakan PBT ini mempunyai asas sebagaimana pendekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk melalui UUK 49(2) – Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1) – Pengibaran Bendera di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai oleh PBT di Negeri Johor,” tulisnya.
Mohd Jafni Kesal & Kecewa Isu Pemasangan Bendera, Sifatkan Bendera Lambang Kedaulatan & Maruah
Dalam hantaran sama, Mohd Jafni meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan insiden terbabit.
Ini kerana jelasnya, Jalur Gemilang serta bendera negeri Johor bukan sekadar sehelai bendera namun ia melambangkan kedaulatan dan maruah sesebuah negara.
Malah jelas Mohd Jafni, beliau memandang serius dan tidak berkompromi dengan isu terbabit.
“Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
“Begitu juga Bendera Negeri Johor yang membawa identiti, maruah dan kedaulatan negeri serta wajib dihormati oleh setiap pihak yang berada dan menjalankan urusan di bumi Johor.
“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.
“Lebih-lebih lagi apabila dua simbol penting, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor didapati dipasang dalam keadaan terbalik di premis yang sama,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Tiada Bulan & Bintang Pada Jalur Gemilang: Dr Akmal Saleh Minta MB Terengganu Kemuka Bukti Wujud Kesilapan Teknikal [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Isu Jalur Gemilang Berkibar Terbalik Di Melaka, YB Duyong Tampil Dedah Puncanya [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tular Klinik Gigi Pasang Jalur Gemilang Terbalik, Polis Buat Siasatan






