KEPUTUSAN kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium hanya RM1,000 mencetuskan perbincangan mengenai kaedah penilaian serta dasar pengurusan tanah kerajaan.
Pengurangan daripada anggaran premium RM4.67 juta kepada kadar nominal itu merupakan perbezaan yang besar, sekali gus memerlukan penjelasan menyeluruh agar keputusan berkenaan dapat difahami berdasarkan pertimbangan sebenar yang dibuat kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan bahawa KLSCAH diwartakan sebagai bangunan warisan sejak 2007 dan tidak lagi mempunyai nilai komersial seperti tanah yang boleh dibangunkan untuk tujuan perniagaan.
Penjelasan itu menunjukkan status warisan dan fungsi bangunan berkenaan menjadi antara pertimbangan dalam menentukan kadar premium baharu.
Usaha mengekalkan bangunan bersejarah sememangnya perlu diberikan perhatian kerana khazanah sedemikian mempunyai nilai tersendiri yang tidak boleh diukur berdasarkan keuntungan pembangunan semata-mata.
Bagaimanapun, pengurangan premium kepada RM1,000 bagi pajakan selama 99 tahun tetap memerlukan asas penilaian yang jelas.
Keputusan membabitkan aset tanah kerajaan perlu dibuat secara teliti, lebih-lebih lagi apabila perbezaan nilai yang begitu ketara.
Dalam hal ini, penjelasan mengenai status warisan perlu disertai penerangan berhubung kaedah pengiraan premium, perubahan kategori kegunaan tanah serta syarat yang dikenakan terhadap institusi berkenaan.
Pandangan berbeza yang disuarakan beberapa pihak mengenai keputusan itu juga tidak seharusnya berkembang menjadi pertentangan kaum.
Sebaliknya, perbincangan perlu tertumpu kepada prinsip pentadbiran tanah yang mengutamakan ketelusan, keadilan dan kepentingan awam.
Ini kerana isu pengurangan premium bukan hanya berkaitan KLSCAH, malah mempunyai kaitan dengan pendekatan kerajaan terhadap institusi masyarakat lain yang turut memiliki kepentingan sejarah, pendidikan, kebajikan dan keagamaan.
Kerajaan sewajarnya mempunyai garis panduan yang jelas bagi permohonan pengurangan premium melibatkan institusi bukan berasaskan keuntungan dan bangunan warisan. Kriteria seperti status pemilikan, fungsi tanah, sekatan pembangunan serta kepentingan pemeliharaan perlu dinyatakan secara terbuka.
Melalui pendekatan itu, pertimbangan yang diberikan kepada KLSCAH boleh dinilai berdasarkan dasar yang turut terpakai kepada institusi lain, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Pada masa sama, institusi yang menerima kemudahan berkenaan perlu memastikan tanah terus digunakan mengikut tujuan yang diluluskan serta mematuhi tanggungjawab pemeliharaan bangunan warisan.
Tempoh pajakan 99 tahun bukan satu jangka masa singkat. Justeru, keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan jangka panjang, termasuk memastikan tanah berkenaan tidak disalahgunakan atau menyimpang daripada tujuan asal kelulusan.
Kerajaan juga boleh menggunakan perkembangan ini untuk menyemak pendekatan pengurusan tanah bagi institusi warisan di seluruh negara. Langkah itu penting supaya organisasi lain yang mempunyai kepentingan sejarah dan fungsi kemasyarakatan turut mendapat ruang pertimbangan berdasarkan kriteria yang sama.
Hakikatnya, pemeliharaan bangunan warisan dan pengurusan aset kerajaan bukan dua perkara yang perlu dipertentangkan. Kerajaan boleh memberikan kelonggaran kepada institusi yang memenuhi syarat, namun setiap keputusan mesti mempunyai justifikasi yang kukuh dan boleh dipertanggungjawabkan.
Ketelusan dalam keputusan premium tanah KLSCAH bukan sahaja penting untuk menjelaskan polemik semasa, malah dapat membina keyakinan rakyat terhadap dasar pengurusan tanah kerajaan yang lebih konsisten dan adil.






