amree10/08/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Pentamaster Corporation Berhad berdepan tekanan berikutan keuntungannya mula terjejas akibat kadar cukai lebih tinggi susulan berakhirnya status perintis, menurut penganalisis.
Di samping itu ujar dua firma penyelidikan yang berbeza, penilaian saham kumpulan berkenaan pula dilihat sudah mendahului keupayaan pelaksanaan sebenar dan sasaran pertumbuhan pendapatan semasa.
Phillip Capital berkata, keuntungan bersih teras bagi enam bulan pertama 2026 (6M26) jatuh 25% kepada RM25 juta dan gagal memenuhi jangkaannya, walaupun hasil pula melonjak 31% kepada RM361 juta.
"Kelemahan ini berpunca daripada kadar cukai lebih tinggi ke atas Pentamaster selepas insentif cukai tamat, selain margin kasar yang susut 8.2 mata peratusan akibat kos segmen penjagaan kesihatan," katanya.
Firma itu menambah, keuntungan bagi suku kedua 2026 (2Q26) juga menjunam 30% apabila tamat insentif cukai perintis bagi segmen Automated Test Equipment (ATE) dan Factory Automation Solutions (FAS).
Bagaimanapun, Phillip Capital melihat prospek pemulihan pada separuh kedua 2026 (2H26), dengan ATE sudah meraih insentif cukai baharu manakala permohonan bagi FAS pula masih menunggu kelulusan.

Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' dan harga sasaran (TP) RM4.10 sesaham, dengan segmen FAS sebagai pemacu Pentamaster, disokong sektor perubatan dan pengkomputeran kecerdasan buatan (AI).
AmInvestment Bank (AmInvest) turut mengambil penilaian berhati-hati dan menurunkan saranan terhadap Pentamaster kepada 'pegang' daripada 'beli', meskipun TP dinaikkan kepada RM4.85 daripada RM3.90.
"Kami berpandangan penilaian semasa saham mengambil kira hasil tahunan melepasi RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, meskipun sasaran itu dijangka hanya mampu dicapai pada 2028," katanya.
Menurutnya, buku tempahan Pentamaster perlu secara purata mencecah RM665 juta setiap suku tahun, berbanding RM550 juta ketika ini, dan menunjukkan risiko masih belum diambil kira oleh pasaran.
Ujar AmInvest, keuntungan 1H26 juga terlepas jangkaan selepas kadar cukai efektif melonjak 15 mata peratusan suku ke suku kepada 20%, namun kadar itu diunjur beransur rendah kepada 12% pada FY27.
Firma itu turut melihat siri produk Samurai bakal memainkan peranan besar dalam pertumbuhan, dengan segmen perubatan menjana 50% daripada buku tempahan dan pelanggan AI compute sebanyak 30%.
"Selain itu, tempahan besar bagi sistem pemeriksaan wafer Zan-X yang diperoleh Pentamaster selepas Jun 2026 belum lagi dimasukkan ke dalam buku tempahan RM550 juta," jelasnya. - DagangNews.com






