amree31/07/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — UUE Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi lebih kukuh, namun kelewatan pelaksanaan projek akibat isu permit kerja masih menjadi cabaran utama.
Situasi itu menurut penganalisis, dikhuatiri mengehadkan kadar pengiktirafan pendapatan kumpulan pada FY27 walaupun buku tempahan terkumpul syarikat tersebut kekal tinggi mencecah RM515.2 juta.
PublicInvest berkata, keuntungan bersih meningkat kepada RM9.3 juta bagi suku pertama FY27, iaitu 448% berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mengatasi jangkaan firma itu serta konsensus.
"Prestasi itu didorong pelaksanaan projek UUE Holdings di Malaysia dan peningkatan margin segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah, walaupun tempoh pelaporan melibatkan musim perayaan," katanya.
Firma penyelidikan itu namun mendapati hanya 16.2% hasil kumpulan disumbangkan oleh operasi di Singapura, sedangkan negara jiran tersebut mewakili lebih 31% daripada buku tempahan syarikat.
Ujar PublicInvest, keadaan itu mencerminkan isu permit kerja projek yang masih belum diselesaikan sepenuhnya, dan berdasarkan situasi tersebut, ia mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini.

Bagaimanapun ia menurunkan saranan kepada 'neutral' daripada 'outperform' ke atas UUE Holdings dengan harga sasaran (TP) kekal 55 sen, berikutan kenaikan harga saham yang mengehadkan pulangan.
"Sumbangan pendapatan dari Singapura masih belum lagi seiring dengan nilai projek yang diperoleh, sekali gus menyebabkan pemulihan pendapatan dijangka berlaku secara berperingkat," tambahnya.
Sementara itu, RHB Research pula mengekalkan saranan 'beli' sambil menaikkan TP kepada 61 sen daripada 54 sen, selepas keputusan 1QFY27 mengatasi jangkaan berikutan peningkatan kerja projek.
Kata firma tersebut, margin keuntungan kasar UUE Holdings naik kepada 28.9%, didorong gabungan projek yang lebih menguntungkan, manakala margin keuntungan bersih turut bertambah kepada 14.9%.
Nilai buku tempahan kekal kukuh pada RM515.2 juta, memberikan keterlihatan hasil sehingga dua tahun, dengan 50% buku tempahan semasa disumbangkan oleh projek Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kira-kira 32% daripada SP Power di Singapura, manakala projek berkaitan pusat data (DC) menyumbang 4.6% dengan margin dijangka lebih tinggi berbanding projek utiliti konvensional," jelas RHB Research.
Ia namun melihat kelancaran projek di Singapura menjadi faktor penting menentukan sama ada UUE Holdings mampu mengekalkan momentum pertumbuhan pendapatan pada baki tahun kewangan 2027. - DagangNews.com





