Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyeru orang ramai khususnya anak muda untuk menunjukkan sokongan kepada parti Perikatan Nasional (PN) dan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Sokongan ini dikatakan penting untuk PN memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut.
Undi Untuk BN Di Kerusi DUN Tidak Ditandingi PN, Elak PH Menang – Tuan Ibrahim
Dalam pada itu, beliau juga menggesa anak muda untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN yang tidak ditandingi PN bagi mengelakkan kemenangan Pakatan Harapan (PH).
“Saya nak menyeru khususnya kepada anak muda sebab pilihan raya negeri sebelum ini undi 18 tahun belum dilaksanakan dan anak muda belum menunjukkan sokongan mereka.
“Pada kali ini kita harapkan anak muda keluar beramai-ramai pastikan anda mengundi calon-calon daripada PN yang mewakili 11 DUN yang kita bertanding.
“Kita harapkan di tempat-tempat PN tidak bertanding, sebagaimana telah saya nyatakan sebelum ini, bawalah sokongan anda kepada BN bagi mengelakkan PH memenangi pilihan raya di Johor,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Jangan Terkejut Apa Manifesto PH Akan Tawarkan Kepada Rakyat Johor Nanti’ – Dr Zaliha
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: Muhyiddin Ajak Rakyat Kenang Jasa PN, Urus Negara Ketika Covid-19
Tuan Ibrahim Gesa Pilih Pemimpin Yang Berakhlak & Berintegriti Untuk PRN Johor
Tegasnya, sebagai seorang pengundi bertanggungjawab, individu haruslah memikirkan tentang implikasi undian yang dilakukan pada lima tahun akan datang.
Justeru jelas beliau, penting untuk pengundi memilih pemimpin yang berakhlak, berintegriti, serta mempunyai latar belakang yang menunjukkan seseorang calon itu sentiasa menyokong rakyat dikala susah dan senang.
“Kita perlu melihat latar belakang setiap calon. PAS mewakili Perikatan Nasional pada kali ini, kita kemukakan calon-calon yang kita yakin, disemak, diteliti parti, diangkat Majlis Syura Ulamak (MSU) lalu kita tawarkan kepada pengundi-pengundi di Johor,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Senarai Penuh Calon PRN Johor Ke-16
PN Berhasrat Lihat Penyatuan Umat Islam Pada PRN Johor
Dalam masa sama, Tuan Ibrahim turut meluahkan harapannya agar penentuan keputusan undi pada 11 Julai nanti dapat mewakili hasrat PN untuk melihat penyatuan ummah di Johor.
“Insya-Allah, Allah SWT mudahkan urusan kita bersama, saya yakin kita semua orang Melayu dan Islam nak lihat bahawa penyatuan kita ini dapat kita gerakkan segera,” tambah beliau.
Di akhir perkongsian, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sekali lagi menyeru anak muda yang duduk jauh untuk pulang dan menunaikan tanggungjawab seorang pengundi.
Info Tentang PRN Johor 16
Untuk info, BN dan PH masing-masing mempertaruhkan 56 calon pada PRN Johor ke-16.
Manakala PN (33), Bersama (15), MUDA (4), Parti Orang Asli Malaysia (1), Parti Sosialis Malaysia (1) serta enam (6) calon Bebas.
PAS bertanding di 11 kerusi DUN selepas mendapati kawasan tersebut mempunyai potensi terbaik untuk dimenangi. Dapatan tersebut adalah berdasarkan kajian yang dilakukan parti itu sendiri.
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: Jadikan Biodata Ketika Berkempen, Poster Unik Calon PN Jadi Bualan
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: “Jangan Sombong & Lupa Daratan” – Anwar Ingatkan Semua Berkempen Dengan Sopan
Baca Artikel Berkaitan: “Mana Ada Bubar Parlimen, Belum”- Makcik BN Betulkan Soalan Caprice Raih Perhatian Ramai [Video]






