Barisan Nasional (BN) memperkemas gerak kerja kempennya selepas mengenal pasti beberapa kelemahan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.

Memetik laporan Berita Harian, menurutnya, memasuki minggu kedua kempen, jentera BN berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik untuk menghadapi hari pengundian pada Sabtu, 14 November. Beliau berkata, langkah memperbaiki kelemahan itu turut menguatkan semangat jentera untuk mengejar kemenangan.
“Pastinya ‘winning mentality’ yang ada pada kita berada pada tahap amat bersedia untuk menghadapi hari pengundian.
“Perkara yang longgar sudah kita ketatkan, manakala yang bergoyang sudah kita tegakkan. Kita sudah membuat persiapan dan memperkemas jentera supaya lebih mantap menjelang 14 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Ceramah Gelombang Biru di Pasir Gembor, Tanjung Bidara.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pengalaman UMNO mengharungi pelbagai krisis politik seharusnya menjadi pengajaran kepada ahli dan jentera parti supaya kekal setia serta terus berusaha ketika berdepan cabaran. Beliau turut mengingatkan mereka agar mengambil iktibar daripada kesilapan lalu.
“Orang Melayu ada berkata, biar patah sayap bertongkatkan paruh, kita tetap meneruskan perjuangan.
“Walaupun sayap patah, kita tetap terbang untuk melawan musuh politik,” jelasnya.
Mengulas kerjasama menerusi Muafakat Melaka, Ab Rauf menyifatkan kesepakatan itu sebagai kekuatan tambahan dalam menghadapi PRN kali ini. Menurutnya, kesepakatan antara parti perlu diterjemahkan di lapangan melalui gerak kerja bersama dan penyelarasan seluruh jentera.
Sumber: Berita Harian (Ridhwan Rusydi Azri Roslan)




![PRN Melaka: ‘Undi Hak Anda, Pemuda UMNO Sediakan Khidmat Guaman Percuma Jika Ada Pihak Yang Paksa Undi’ – Akmal Saleh [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/PRN-Melaka_-‘Undi-Hak-Anda-Pemuda-UMNO-Sediakan-Khidmat-Guaman-Percuma-Jika-Ada-Pihak-Yang-Paksa-Undi-Akmal-Saleh-Video.jpg?t=1794281533)
