
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seharusnya menjadi ruang untuk memperkukuh khidmat kepada rakyat dan bukan sekadar persaingan politik antara parti.
Aktivis bebas, Harik Fauzi berkata, rakyat hari ini mahukan wakil rakyat yang benar-benar turun padang, mendengar masalah dan mengambil tindakan terhadap keperluan mereka.
Beliau berkata, pengalaman melihat sendiri keperluan masyarakat, selain berinteraksi dengan wakil rakyat serta pemimpin di peringkat akar umbi, memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju PRN kali ini.
“Bagi saya, politik dan kepimpinan akhirnya mesti kembali kepada satu perkara, iaitu khidmat kepada rakyat.
“Kita tidak boleh hanya melihat permasalahan masyarakat dari jauh, sebaliknya perlu turun sendiri, mendengar dan membantu mengikut kemampuan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Harik berkata, pengalaman itu turut diperoleh menerusi penglibatannya dalam pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kebajikan, khususnya di kawasan Parlimen Titiwangsa.
Beliau berkata, pendekatan turun padang yang dipelajarinya daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjadi antara asas penting dalam memahami keperluan masyarakat dan memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat.
Katanya, pengalaman itu kemudiannya mendorong beliau memperluaskan kerja kebajikan menerusi penubuhan Yayasan Harik yang kini melaksanakan pelbagai usaha CSR dan kebajikan di Kuala Lumpur, Melaka serta kawasan lain yang memerlukan.
“Keterbukaan wakil rakyat di Melaka menerima penglibatan saya dalam aktiviti kemasyarakatan turut membuktikan usaha membantu rakyat boleh dilaksanakan secara bersama tanpa mengira latar belakang atau negeri asal.
“Tidak kira kita datang dari Kuala Lumpur atau Melaka, apabila niat kita adalah untuk membantu rakyat, kita boleh duduk semeja dan bergerak bersama. Akhirnya, rakyat yang mesti mendapat manfaat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu PRN Melaka membawa semangat baharu yang lebih memberi tumpuan kepada rakyat, yang disifatkannya sebagai ‘Gelombang Rakyat’, bukan sekadar ‘Gelombang Biru’.
Tambah beliau, gelombang berkenaan harus diterjemahkan melalui budaya khidmat berterusan, termasuk wakil rakyat yang sentiasa turun padang, memahami masalah setempat dan memastikan kebajikan masyarakat diberi keutamaan.
The post PRN Melaka: Bukan sekadar ‘gelombang biru’, tetapi gelombang rakyat appeared first on Utusan Malaysia.






