KOTA BHARU – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyasarkan untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata Gerakan diperuntukkan satu kerusi di bawah Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan di kawasan berkenaan.
“Gerakan sebenarnya mempunyai peluang untuk bertanding lebih daripada satu kerusi seperti Bandar Hilir atau Kota Laksamana, namun kami memilih untuk memberi fokus kepada satu kerusi sahaja.
“Kami mahu menumpukan sepenuh perhatian di Ayer Keroh bagi menewaskan DAP,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Kelantan Ke-45 di sini pada Jumaat.
Calon senior parti itu, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam, 61, yang juga Pengerusi Gerakan Melaka dan Naib Presiden Gerakan, diumumkan sebagai calon PN bagi DUN Ayer Keroh.
Dominic berkata, Peng Lam sekali lagi dipilih bertanding di kerusi tersebut selepas mewakili PN pada PRN Melaka sebelum ini.
**media[3694374]**
Menurutnya, pemilihan calon dibuat berdasarkan potensi kemenangan serta kekuatan jentera parti bagi memastikan kempen dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Pemilihan calon turut mengambil kira kemampuan untuk meraih kemenangan selain kekuatan jentera parti bagi memastikan kempen dapat digerakkan secara efektif,” katanya.
Mengulas peluang Gerakan di Ayer Keroh, beliau berkata kemenangan bukan sesuatu yang mustahil walaupun kerusi itu sebelum ini dimenangi DAP.
“Parti perlu menggunakan strategi yang tepat dan menggerakkan jentera secara bersungguh-sungguh bagi mendapatkan mandat serta sokongan pengundi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Dominic berkata Gerakan yang menggunakan logo PN pada PRN Melaka akan menerima sokongan jentera daripada semua parti komponen gabungan itu bagi membantu memenangkan calon di Ayer Keroh.
Beliau berkata, Gerakan juga akan membantu kempen calon-calon PN lain di kawasan yang ditandingi mereka.
Menurutnya, rundingan pengagihan kerusi antara parti-parti komponen PN dibuat secara profesional dengan mengambil kira kekuatan calon dan jentera masing-masing.
Pada PRN Melaka 2021, kerusi DUN Ayer Keroh dimenangi calon DAP, Kerk Chee Yee, dengan 9,459 undi dan majoriti 5,624 undi.
Michael Gan yang mewakili PN memperoleh 2,479 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Yong Fun Juan, meraih 3,835 undi.
Bagi PRN kali ini, Kerk Chee Yee sekali lagi dipilih untuk mempertahankan kerusi yang dianggap antara kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Melaka.






