PRN Melaka: Jentera BN digesa perkukuh kesatuan, pergiat gerak kerja pilihan raya

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 12:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Jentera BN digesa perkukuh kesatuan, pergiat gerak kerja pilihan raya
Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16 di Dewan MITC hari ini. Foto Bernama

MELAKA - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh jentera parti supaya memperkukuh kesatuan dan mempergiat gerak kerja mulai sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, setiap anggota jentera perlu memainkan peranan masing-masing dan bekerja keras sebagai sebuah gabungan bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya dilaksanakan secara menyeluruh.

Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan seluruh jentera parti bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan dengan berkesan.

"Gerakan kita mesti bermula dari sekarang... usaha kita, kerja keras kita, kerja kempen kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam ini.

Pada majlis itu, BN mengumumkan barisan calonnya, dan gabungan berkenaan akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pihaknya yakin pemilihan lapan calon muka baharu untuk bertanding pada PRN kali ini mampu meraih sokongan sekali gus mengekalkan penguasaan di 21 kerusi DUN.

Beliau berkata pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira kajian terhadap keadaan dan keperluan kawasan yang bakal ditandingi.

Mereka ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Norazril Abdul Aziz (Rembia), S. Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezleel Pit (Sungai Rambai).

"Pemilihan itu bertujuan memberi ruang kepada muka baharu untuk meneruskan khidmat kepada rakyat setempat selain memastikan agenda yang dilaksanakan kerajaan pada penggal lepas dapat diteruskan… bagi yang tidak dicalonkan, saya bukan menggugurkan... ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan... jadi, kita memberi ruang kepada muka-muka baharu ini,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata beliau berharap semua calon yang dipilih dapat bekerja lebih keras dan mantap bagi memastikan kemenangan di kerusi yang ditandingi sekali gus mempertahankan kesemua kawasan yang dikuasai pada PRN terdahulu.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November - Bernama 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved