
MUKADIMAH
Menggunakan analogi pahlawan Melaka ‘Hang Tuah’ dan ‘Hang Jebat’ untuk menggambarkan watak rakyat Melaka dalam menilai isu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, ADLY ZAHARI yakin kebijaksanaan pengundi Melaka dalam memahami kesan kerosakan jangka panjang kehilangan wang negara terutama dalam menangani isu Tabung Haji serta Felda.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan FITRI NIZAM, dibantu jurufoto, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH serta juruvideo MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, Naib Presiden Amanah itu berkata, PH juga perlu memperoleh lebih daripada 30 peratus undi Melayu sekiranya mahu berpeluang memenangi sebahagian besar kerusi dipertandingkan.
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut menyentuh isu cadangan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan penjelasan sehingga menyebabkan tindakan mahkamah diambil wakil rakyat PH.
CABARAN BESAR DI MELAKA
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana YB melihat persaingan di PRN Melaka nanti?
Bagi kita memang ada cabaran untuk menguasai negeri adalah cabaran cukup besar, sebab itu di Melaka tumpuan kita adalah untuk menambah kerusi, bukan tumpuan kita menguasai negeri.
Kalau hendak menguasai negeri itu bergantung pada cukup bilangan kepada parti masing-masing atau pun mungkin sebahagian parti tidak ada majoriti, jadi akhirnya pembentukan terpaksa balik kepada model-model sedia adalah, sama ada Perpaduan, kerjasama politik dan sebagainya.
Memang orang melihat persepsi yang dibina adalah berjaya hilangkan PH di Johor, di Negeri Sembilan, tapi PH masih kekal ada di Johor, kalau kita lihat di Negeri Sembilan, PH ada sembilan kerusi lagi.
Sebab itu, saya fikir di Melaka kita ada lima kerusi, itu yang harus kita pertahankan, mungkin daripada lima itu, Bukit Katil saja yang ada sedikit cabaran. Kalau atas kertas, daripada sebahagian orang yang membuat analisis, mungkin Bukit Katil itu dilihat kalahlah.
Namun, di atas kertas ini juga ada banyak cabaran, macam masa kita kerjasama dengan BN di Kedah, atas kertasnya kerjasama Perpaduan itu (boleh) menang 18 kerusi, tapi bila pergi kepada masyarakat (pengundi), tetap bergantung kepada sentimen semasa juga.
Tapi secara umum kita sedar dan UMNO pun tahu bahawa sebenarnya mereka tidak boleh bergerak solo tanpa kerjasama dengan parti-parti politik, itu UMNO kena terima hakikat.
PH PERLU LEBIH 30 PERATUS UNDI MELAYU UNTUK MENANG
Jangkaan YB, kerusi mana yang bakal menyaksikan persaingan sengit?
Kita mempunyai peluang di banyak kerusi termasuk kerusi-kerusi utama. Bagaimanapun, strategi tidak boleh didedahkan kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak pihak memberikan tumpuan kepada kerusi berkenaan.
Jika kita melihat keadaan di peringkat akar umbi, terdapat banyak kerusi Pakatan Harapan (PH) yang berpotensi menyaksikan persaingan sengit. Melaka mempunyai banyak kerusi campuran dan kita sedia maklum cabaran politik identiti memainkan peranan penting.
Oleh itu, PH perlu memperoleh lebih daripada 30 peratus undi Melayu. Jika kita berjaya mencapai tahap itu, kita berpeluang memenangi sebahagian besar kerusi. Jika memperoleh sekitar 20 peratus, kita mungkin hanya mampu menambah beberapa kerusi.
Namun, jika gagal mencapai 20 peratus, kita berisiko kehilangan sebahagian kerusi yang sedang kita miliki.
Justeru, pilihan raya kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit. Berdasarkan analisis kerusi, kerusi yang saya tandingi sendiri (Bukit Katil) pun belum boleh dianggap selamat. Malah, kerusi Ketua Menteri (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) juga tidak semestinya selamat, bukan? Kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi keputusan.
Kita juga perlu mengambil kira pengaruh Bersatu di beberapa kawasan, khususnya di Masjid Tanah serta yang pernah dimenangi parti itu, seperti Sungai Udang dan Bemban. Setiap parti mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan masing-masing.
UMNO mungkin yakin mampu memenangi 23, 24 atau 25 kerusi. Namun, bagi PH, seperti yang saya nyatakan, fokus kita adalah untuk mempertahankan kerusi DUN yang telah dimenangi dan pada masa sama berusaha menambah kerusi baharu.
LAWAN POLITIK IDENTITI CABARAN PH
Adakah politik identiti dibawa UMNO dan Pas satu ancaman kepada PH di PRN Melaka?
Dalam konteks Malaysia, kita tidak nafikan politik kaum. Contohnya, isu ancaman kepada Melayu, ancaman kepada Islam dan ancaman kepada Raja-Raja memang menjadi satu cabaran kepada PH. Semuanya itu ditujukan kepada sebahagian parti dalam PH, terutamanya DAP.
Sebab itu, dahulu bila Pas bekerjasama dengan DAP agak lama juga, iaitu selama 19 tahun, jadi Pas-DAP. Akhirnya, apabila UMNO bekerjasama dengan DAP, UMNO pun dipanggil UMDAP, bukan?
Jadi, memang sentimen-sentimen ini boleh menguasai pemikiran. Tetapi, kalau kita tengok sejarah perubahan negara kita, sentimen terbesar yang menguasai pemikiran rakyat sehingga menyebabkan perubahan adalah sentimen mencuri wang negara.
Sebab itu, politik identiti akan berlawan juga dengan politik tata kelola, isu salah guna kuasa dan pelbagai suara yang lain.
Kalau dahulu kita bercakap tentang kleptokrasi, orang tidak faham. Kalau kita kata rasuah ini menghancurkan negara, mungkin rakyat tak faham. Tetapi, kalau kita sebut curi duit negara, sebahagian orang boleh faham, terutamanya generasi kita. Inilah cabaran bagi kita, iaitu berlawan dengan politik identiti.
Contohnya, kalau kita sebut tentang raja, perkara itu memang akan dikaitkan. Walaupun ia tidak berlaku, akan timbul persepsi seolah-olah PH ini anti-raja dan sebagainya. Perkara ini selalu dikaitkan dengan DAP, mungkin berdasarkan kenyataan-kenyataan individu dan sebagainya.
Tetapi, bila kita lihat di Negeri Sembilan, gelombang biru itu sudah dapat tubuh kerajaan. PH bukan lagi dalam kerajaan negeri itu, dan kita pun tak sentuh apa-apa yang terkait dengan negeri itu.
Namun, kalau kita lihat, BN pun tidak boleh menyelesaikan isu itu secara baik. Orang selalu menyebut tentang gelombang biru, tetapi keadaan kerajaan itu macam haru-biru. Saya fikir semuanya itu akan memberi kesan kepada rakyat.
WATAK TUAH, JEBAT DALAM RAKYAT MELAKA
Adakah dengan pendedahan isu Tabung Haji, FELDA boleh menyekat kemaraan gelombang biru di PRN Melaka?
Bagi PH yang paling penting adalah tanggungjawab memberitahu rakyat kesannya dengan apa yang berlaku. Memang tidak nafikan lagi ramai dalam kalangan rakyat faham tentang apa yang berlaku, kesannya kepada kehidupan mereka, kepada sistem pendidikan negara dan ekonomi negara, lagi rakyat akan bertindak dengan lebih baik.
Kadang-kadang, bila kita sebut tentang Tabung Haji, kehilangan RM10 bilion, tetapi rakyat lihat dalam Tabung Haji, duit mereka sama sahaja, tidak hilang, bukan? Ada sebahagian rakyat yang melihat begitu.
Tapi ada sebahagian rakyat yang memang ada kefahaman, terutamanya mereka yang ada pendidikan. Jadi, mereka mungkin boleh sampaikan apa kesannya RM10 bilion kepada kita sebagai pembayar cukai.
RM10 bilion kalau kita terpaksa top up kepada Tabung Haji, kita akan kehilangan pembinaan sekolah, pembinaan hospital, kita mungkin akan kehilangan pembelian aset-aset negara melalui Kementerian Pertahanan. Jadi, ia akan beri kesan. Itu baru satu institusi, belum lagi institusi lain seperti FELDA.
Jadi, hendak menerangkan kepada rakyat dalam konteks itu bukan mudah kerana rakyat akan melihat apa yang mereka hilang dalam poket mereka. Tapi mereka tidak melihat kesan jangka masa panjang.
Tapi saya fikir sebahagian rakyat Malaysia memang ada pengetahuan tentang perkara itu dan tidak dinafikan bahawa rakyat pernah buat keputusan itu pada 2018 apabila berlaku kecurian wang negara dengan jumlah yang besar. Akhirnya, rakyat buat perubahan.
Bila bercakap tentang isu politik identiti dan sebagainya, memang di peringkat PH, kita cuba tingkatkan lagi suara-suara ini supaya ramai dalam kalangan rakyat lebih faham tentang kesan daripada tata kelola dan salah laku, sama ada macam tadilah, isu Tabung Haji.
Ada orang kata isu Tabung Haji ini tidak akan beri kesan pada gelombang biru. Saya tak fikir begitu. Saya fikir rakyat faham, terutamanya orang Melaka.
Orang Melaka ini tidak ada raja. Memang isu raja ini tidak sensitif pada mereka. Tapi jangan lupa bahawa orang Melaka ini, walaupun tidak ada raja, tetapi mereka sentiasa ada dua watak: satu watak (Hang) Tuah, satu lagi watak (Hang) Jebat.
Jadi, kalau mereka nak melawan, mereka akan jadi Jebatlah, melawan apa yang ada ini. Tapi kalau mereka hendak taat, mereka akan jadi Tuah. Itu sahaja.
Jadi, mereka akan sentiasa memilih watak itu bergantung pada keadaan pada masa itu. Jadi, saya fikir orang Melaka ada kebijaksanaan itu.
Kalau kita lihat keputusan pilihan raya di Melaka dululah, dalam tempoh setahun itu, walaupun BN menang jumlah yang besar, iaitu 21 kerusi, tapi akhirnya BN dihukum juga oleh rakyat pada PRU, dengan kehilangan semua kerusi Parlimen. Jadi, ini bergantung juga kepada sentimen semasa dan sokongan semasa.
PH tidak membawa politik identiti. Kita bawa politik berdasarkan kepada perpaduan kita, politik yang berdasarkan kepada nilai, telus dan sebagainya.
Kalau menang dengan gelombang biru, tapi kerajaan jadi macam Kerajaan Negeri Sembilan, apa manfaatnya kepada rakyat? Saya fikir yang paling rugi di Negeri Sembilan itu adalah rakyatlah. Exco tak ada, keputusan tidak boleh dibuat, pembangunan memang akan terhenti.
Jadi, saya tidak fikir apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu tidak beri kesan kepada politik di Melaka.
Terdapat cadangan daripada pemimpin Amanah supaya YB dinamakan sebagai poster boy dan calon Ketua Menteri PH pada PRN Melaka, boleh komen?
Sebenarnya kita di PH tidak pernah bincangkan tentang poster boy. Bagi kita, strategi politik pada kali ini adalah setiap calon yang dipilih itu mesti tumpukan kepada DUN masing-masing untuk menang.
Jadi, tidak guna kalau kita ada poster boy, tapi kita tidak boleh memenangi kerusi yang kita tandingi. Apa lagi kalau poster boy itu tidak boleh hendak mempertahankan kerusi dia.
Adapun keputusan tentang itu buat masa ini di peringkat negeri ataupun di peringkat sekretariat PH kita tidak bincangkan, dan saya tidak pasti sama ada dibincangkan di Majlis Presiden atau sebagainya.
Kalau dulu kita lihat masa pilihan raya, biasanya poster boy nya hanya akan dibincangkan di Majlis Presiden sahaja, itu pun kalau dibangkitkan. Buat masa ini tak ada perbincangan tentang poster boy.
Memanglah masing-masing ada pandangan, setiap parti pun ada poster boy sendiri sebenarnya. Saya fikir semua parti ada poster boy, kecuali buat masa ini saya tidak dengarlah poster boy daripada DAP, bukan?
Kalau kita lihat di Johor kita tidak ada poster boy. Di Negeri Sembilan oleh kerana kita ada MB (ketika itu), adalah poster boy kita, bukan?
Tapi yang paling penting bagi saya untuk hadapi pilihan raya, kadang-kadang kalau kita tengok macam (PRN) dulu di Melaka, lain poster boy dia, lepas itu dia tukar.
Di Negeri Sembilan pun BN tidak ada poster boy, tapi mereka ada ‘ala’ poster boy, tapi kemudian (jadi) lain, macam Presiden UMNO sebutlah, lain dia order, lain dia dapat.
BERSAMA TIDAK AKAN KUASAI UNDI PH
YB rasa Bersama akan menjejaskan undi kepada PH di PRN Melaka?
Saya fikir kita di PH memang tahu bahawa Bersama adalah salah satu daripada cabaran kita, kerana mereka akan menarik sokongan disebabkan isu yang dibawa oleh Bersama tidak banyak beza dengan isu-isu yang dibawa oleh PH sendiri.
Cuma kalau kita lihat macam di Johor paling penting kita kena kukuh. Kalau PH itu tidak sepakat, sebahagian pengundi-pengundi PH akan pergi kepada Bersama.
Bersama kebanyakannya mencari undi dalam kalangan pengundi baru. Tapi kita macam saya sebutkan tadi, pengundi baru agak tinggi juga, dan ini juga kita bersainglah antara tiga kelompok ini.
Kita tahu kemampuan Bersama, memang parti yang agak baru, tapi kita tidak pernah nampak Bersama sebagai kecil.
Dalam pengalaman kita bertanding di Pilihan Raya Melaka, majoriti macam di Bukit Katil dulu majoriti UMNO kalah bermula dengan 40 undi macam itu. Jadi, dalam pilihan raya ini satu undi pun boleh boleh menentukan pilihan raya. Bersama ini mungkin tidak akan menang, tetapi mereka boleh mengganggu mana-mana parti yang akan bertanding untuk mencapai kemenangan.
Kalau kita lihat macam di Pengkalan Batu yang lepas, calon Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee, dia dapat 1,000 undi yang menyebabkan calon BN menang. Sepatutnya kerusi itu adalah kerusi selamat bagi PH. Jadi bagi Bersama ini, faktor itu kita lihat.
Boleh YB berikan sedikit penjelasan berhubung isu ADUN lantikan, memandangkan Ketua Menteri menyatakan bahawa idea tersebut datang daripada pihak YB?
Memang benar, jika kita lihat, terdapat beberapa negeri mewujudkan jawatan ADUN lantikan. Saya tidak menafikan ketika saya bertemu dengan Ketua Menteri, perkara berkaitan ADUN lantikan ini ada dibangkitkan.
Saya ada bertanya kepada beliau sama ada isu ADUN lantikan ini boleh diselesaikan. Namun, cadangan untuk melantik tujuh ADUN lantikan bukanlah keputusan PH, sebaliknya diputuskan di peringkat Kerajaan Negeri. PH menolak cadangan pelantikan tujuh ADUN lantikan tersebut kerana jumlah itu bersamaan kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 28 orang ADUN di Melaka.
Apabila perkara ini dibincangkan di peringkat PH, terdapat beberapa faktor yang kami teliti.
Pertama, faktor kos. Di sesetengah negeri, jumlah ADUN lantikan yang dipersetujui biasanya maksimum lima orang. Namun, kita perlu melihat jumlah keseluruhan kerusi DUN di sesebuah negeri.
Melaka mempunyai jumlah kerusi DUN yang tidak begitu banyak, tetapi cadangan yang dikemukakan melibatkan pelantikan sehingga tujuh orang ADUN. Perkara ini sudah tentu melibatkan kos yang besar. Saya fikir, kos gaji sahaja boleh mencecah jutaan ringgit. Oleh itu, aspek kewangan ini perlu dipertimbangkan dengan teliti.
Kedua, kita perlu melihat dari sudut hak ADUN yang dilantik dan prinsip demokrasi. Untuk menjadi wakil rakyat, seseorang itu sepatutnya mendapat mandat rakyat.
Ketiga, kami turut meneliti isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Perkara yang dibangkitkan, sama ada pelantikan wakil rakyat melalui kaedah ini selaras dengan prinsip perlembagaan yang menetapkan wakil rakyat dipilih oleh rakyat.
Persoalannya, bolehkah wakil rakyat dilantik dan bukannya dipilih? Jika perkara ini dibenarkan, apakah kesannya terhadap hala tuju demokrasi negara pada masa hadapan, khususnya jika kaedah pelantikan ini diperluas sehingga melibatkan separuh daripada jumlah wakil rakyat?
Saya berpandangan keadaan sedemikian boleh menjejaskan kuasa rakyat dalam sistem demokrasi.
Justeru, walaupun perkara berkaitan ADUN lantikan pernah dibincangkan antara saya dengan Ketua Menteri, perbincangan itu, setakat yang saya ingat, tidak melibatkan lebih daripada tiga orang ADUN lantikan.
Persoalannya, siapakah yang berhak menentukan sama ada tindakan tersebut bercanggah dengan perlembagaan atau tidak? Jadi, perkara itu perlu diputuskan oleh mahkamah.
Sebab itulah saya bersama YB Khoo Poay Tiong, yang juga Ahli Parlimen dan beberapa bekas ADUN, mengambil keputusan membawa perkara ini ke mahkamah supaya mahkamah dapat menentukan sama ada tindakan Kerajaan Negeri Melaka itu berperlembagaan atau sebaliknya.
SATU LOGO TANDA SEPAKAT
Adakah pengunaan satu logo memberi kesan dalam sesuatu pilihan raya?
Kalau kita lihat faktor logo ini kadang-kadang boleh memberikan kesan. Sebab setiap parti ada dasar-dasar sendiri.
Sebab itu, kalau kita lihat macam dulu bila kita bekerjasama dengan satu logo iaitu logo Keadilan (PKR) masa kita hadapi PRU 2018, ia adalah tentang kesepakatan kita. Sebab itu, satu logo ini adalah tentang kesepakatan. Kalau anda buat satu coalition, tapi anda tidak boleh pakai satu logo, menunjukkan anda tidak sepakat. Itu sahaja isunya.
Akhirnya ia akan beri kesan kepada apa? kepada pentadbiran, sebab apa? sebab anda tidak sepakat. Jadi macam kita di PH, kita sepakat dengan benda-benda itu. Jadi isu logo, isu calon, isu kerusi memang apa pun keputusan kita bertindak atas PH. Sebab itu kita rasa bersyukurlah, sebab PH masih kukuh walaupun kita hadapi banyak cabaran.
Kalau kita lihat Perikatan Nasional (PN) pun dalam tempoh ini pun tidak dapat dipertahankan, berbalah sama dia.
Tapi isu utama PN adalah isu muafakat orang Melayu dan orang Islam, tapi memang dalam konteks agama memang kalimah mereka itu betul, tapi tindakan itu salah. Kalimah mereka untuk bina muafakat itu, rakyat percayalah.
Tengoklah muafakat ini hancur berkecai, dan tiada kena mengena dengan DAP pun. Dalam PN bukan ada DAP. Tapi kenapa jadi begitu? Kerana kita tahu bahawa memang istilahnya tepat, tapi tindakan-tindakan yang salah. Akhirnya akan beri kesan balik kepada kepada rakyat. – Mingguan Malaysia
The post PRN Melaka: Masa untuk rakyat mahu jadi ‘Tuah’ atau ‘Jebat’ appeared first on Utusan Malaysia.






