PRN Melaka: Kerjasama BN-PH perlu keputusan kolektif - Ka Siong

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 1:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Kerjasama BN-PH perlu keputusan kolektif - Ka Siong
Ka Siong ketika ditemui pemberita sempena Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Perak, pada Ahad.

IPOH - Keputusan berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diputuskan secara kolektif di peringkat kepimpinan tertinggi parti.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setakat ini BN masih belum membincangkan secara terperinci mengenai pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama politik bagi menghadapi PRN berkenaan.

Menurutnya, sebarang perbincangan rasmi hanya akan dibuat selepas proses pembubaran DUN berlaku, sebelum dibawa ke peringkat kepimpinan BN untuk pertimbangan lanjut.

"Kita masih menunggu. Selagi belum dibubarkan, kita tidak bincang soal kerusi. Biasanya selepas pembubaran barulah perbincangan terperinci dibuat," katanya kepada pemberita sempena Penutup Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA Perak di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ka Siong berkata, pelbagai andaian dan analisis politik berhubung kerjasama dua parti besar tersebut yang berlegar ketika ini hanyalah pandangan pihak luar.

Katanya, keputusan sebenar hanya akan dibuat melalui proses perbincangan rasmi di semua peringkat sebelum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi BN.

"Kita tidak dipengaruhi oleh sesiapa yang minta kita kerjasama. Di peringkat tertinggi, kita akan memperihalkan dengan secara terperinci apa yang perlu kita lakukan dan itu selalunya adalah satu tindakan secara kolektif," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa MCA kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan siri pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, kekuatan parti menjadi asas penting dalam menentukan keupayaan serta kedudukan dalam sebarang rundingan politik.

"Kalau kita kuat, kita ada kelebihan dalam rundingan. Itu realiti politik yang tidak boleh dinafikan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui, perjalanan MCA untuk memperkukuhkan kedudukan dalam landskap politik negara masih panjang dan berdepan cabaran.

Ujarnya, walaupun terdapat perkembangan positif di beberapa negeri termasuk Johor dan Negeri Sembilan, ia belum boleh dianggap sebagai kejayaan mutlak.

"Setiap negeri ada isu dan ciri tersendiri. Kita melihat ada peningkatan sokongan, tetapi masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.

"Jadi kita tidak boleh terlalu ghairah dengan kemenangan. Ia hanyalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar," katanya.

Bengkel Latihan Pilihan Raya MCA di Perak merupakan siri keempat selepas Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh jentera parti di peringkat negeri.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved