PRN Melaka: BN belum putuskan kerjasama dengan PH atau PN

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 12:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: BN belum putuskan kerjasama dengan PH atau PN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sehingga hari ini belum memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya kini sedang membuat kajian terperinci mengenai perkara itu, termasuk sentimen akar umbi yang bercampur pada ketika ini.

“Itu akan diputuskan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan keputusan itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional Melaka dan pusat.

“Sentimen akar umbi bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau tidak bertanding dalam PRN Melaka akan datang sekiranya BN bekerjasama dengan PH.

Namun dalam masa yang sama, PKR menerusi ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim pula mempersoal keikhlasan BN kerana menganggap parti itu tidak menghormati mandat rakyat dalam kerjasama dengan PH sehingga tamat penggal Parlimen.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid berkata, kajian itu penting supaya keputusan yang dibuat tidak menjejaskan parti berkenaan.

“Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup ataupun ikan sepat tinggal tulang,” katanya lagi. 

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka memaklumkan PRN Melaka  boleh diadakan pada bila-bila masa susulan kejayaan pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, buat masa ini tiada tarikh yang tepat untuk beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tempoh akhir penggal adalah pada 31 Disember depan. 

Namun, pada 20 ogos lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, perkara itu bagaimanapun akan dibincang dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini. –UTUSAN

The post PRN Melaka: BN belum putuskan kerjasama dengan PH atau PN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved