PRN Melaka: PH mahu BN berterus terang jika tak berminat rundingan - Amirudin

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 10:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: PH mahu BN berterus terang jika tak berminat rundingan - Amirudin
Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli PKR.

ALOR GAJAH - Pakatan Harapan (PH) meminta Barisan Nasional (BN) berterus terang sekiranya tidak berminat untuk mengadakan rundingan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini masih belum berlaku rundingan rasmi antara kedua-dua gabungan itu meskipun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin hampir.

Menurutnya, PH tidak mempunyai masalah sekiranya BN memilih untuk tidak bekerjasama, namun perkara itu perlu dinyatakan secara jelas supaya pihaknya dapat membuat persediaan berdasarkan keputusan tersebut.

"Setakat ini, BN tak ada ura-ura (nak adakan rundingan) itu, sampai dah nak bubar.

"Nampak gayanya tak berlaku pertemuan itu walaupun ada hubungan yang telah kita buat, sampai dah nak bubar jadi terserah.

"Tak pasti, tapi mungkin mereka tak minat. Jadi, kita tak ada masalah. Kalau tak minat, beritahu sahaja, kita teruskan (langkah seterusnya),” katanya selepas Pelancaran Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Masjid Tanah pada Ahad.

Amirudin berkata, PH tetap melakukan persediaan di peringkat parti tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerjasama BN yang dilihat masih belum memuktamadkan sama ada bergerak secara solo atau bergabung dengan parti lain.

"Tak tahu sebab mula-mula BN kata macam nak pergi solo, lepas itu dengan Pas atau PH pula. Itu mungkin untuk mengaburi pihak lawan dan kawan.

"Apa pun, saya sebutkan kita sediakan semua senario, termasuk bertanding secara solo ataupun ada gabungan dengan jajaran yang baharu ataupun dengan UMNO-BN," katanya.

Katanya, keputusan akhir mengenai sebarang bentuk kerjasama tetap perlu dibawa kepada Majlis Presiden PH untuk diputuskan.

Katanya, perkara itu juga telah dibentangkan secara awal dalam mesyuarat PH sebelum ini dengan arahan supaya persiapan pilihan raya diteruskan.

"Dalam mesyuarat PH sebelum ini saya dah sedikit sebanyak bentangkan dan arahannya jelas untuk kita teruskan persediaan, lancarkan jentera, kuatkan pasukan dan pastikan tempat-tempat yang kita nak tanding.

“Kalau tak ada juga sampai bubar, kita teruskan (gerak solo), tetapi keputusan akhir adalah Majlis Presiden PH untuk saya bentangkan sebarang senario ini.

"Kalau ada maklumat tentang penjajaran itu akan dibuat kemudian," katanya.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerjasama PH dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah PH Plus, Amirudin berkata perkara itu masih bergantung kepada perbincangan di peringkat negeri.

"Dengan Bersatu itu tak pasti lagi. Sebab kita kena tengok dulu sejauh mana perbincangan peringkat negeri bersama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dengan parti tersebut.

"Kalau ada kesepakatan itu, saya harus rujuk dengan pihak Pusat, Pakatan Harapan Pusat. Kalau ada pengesahan itu, kita akan teruskanlah," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved