PRN Melaka: ‘Rakyat mahu penyelesaian, bukan sekadar retorik’ – Ahmad Samsuri

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 12:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: ‘Rakyat mahu penyelesaian, bukan sekadar retorik’ – Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri - Foto SINAR HARIAN

MELAKA - Tempoh tersisa tidak lebih dua bulan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu dimanfaatkan Pas bersama rakan muafakat dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menunjukkan kesiapsiagaan memerintah Seri Negeri.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh pimpinan dan jentera Pas serta PN di Melaka perlu bekerja secara lebih tersusun, berdisiplin dan bijak bagi mendapatkan kepercayaan rakyat.

“Sebab itulah saya selaku Pengerusi PN menyeru seluruh rakan-rakan pimpinan dan jentera Pas serta PN di Melaka untuk sama-sama memahami bahawa tempoh yang tersisa sebelum dibubarkan DUN Melaka, saya kira tidak lebih daripada dua bulan sehingga tarikh pilihan raya.

“Ini adalah masa yang sangat penting untuk kita terus bekerja dari sekarang. Kita perlu bekerja secara lebih bijak dalam keadaan masa yang tidak bersama dengan kita ini, lebih tersusun dan penuh disiplin untuk mendapat kepercayaan rakyat negeri Melaka,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Amal Negeri Melaka di sebuah hotel di sini pada malam Ahad.

Majlis dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, Pas bersama rakan-rakan dalam PN perlu dilihat sebagai satu pasukan yang bersedia membentuk kerajaan dan mentadbir negeri berkenaan.

“Yang pentingnya ialah Pas bersama dengan rakan-rakan dalam Muafakat PN mestilah dilihat bersedia untuk memerintah, untuk berada di Seri Negeri, untuk menjadi kerajaan di negeri Melaka ini.

“Ini membawa maksud bahawa kita hendaklah dilihat oleh rakyat sebagai satu pasukan yang membawa calon-calon penuh wibawa, berintegriti, mempunyai kemampuan dan mampu bergerak dalam suatu pasukan bagi menyelesaikan masalah di Melaka secara khususnya,” katanya.

Katanya, rakyat tidak lagi hanya menantikan retorik politik, sebaliknya mahu melihat penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

“Bercakap boleh bercakap, berucap boleh berucap, retorik, laungan boleh kita laungkan dengan pelbagai slogan dan sebagainya tetapi akhirnya rakyat akan menantikan apakah bentuk penyelesaian kita bawa dalam suasana politik yang begitu kompleks di negeri ini dan dalam negara kita.

“Rakyat menunggu tentang penyelesaian, the solution of the problem, penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.

Ujarnya, Melaka mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, pelaburan, industri, pembuatan dan pendidikan berikutan kedudukannya yang strategik.

“Pelbagai perkara boleh berlaku dalam suasana politik, tetapi yang paling penting ialah kita mencari cara terbaik untuk kita sama-sama dapat mengurus tadbir dan memerintah negeri Melaka serta berada di Seri Negeri.

“Pas dan PN perlu menyampaikan mesej jelas bahawa kita bukan untuk satu kelompok masyarakat sahaja.

“Perbezaan agama dan budaya tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita saling curiga-mencurigai kerana itu adalah fitrah kejadian manusia yang tidak boleh kita ubah,” katanya.

Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat perlu diurus dengan adil bagi memastikan Melaka terus menjadi negeri yang aman, makmur dan sejahtera.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved