
TAMPIN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dapat diumumkan seawal pukul 10 malam esok, manakala keputusan penuh dijangka diperoleh sebelum pukul 12 tengah malam.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai memandangkan semua persiapan bagi hari pengundian telah berada pada tahap siap siaga.
“Semua 401 pusat mengundi di seluruh negeri telah bersedia untuk menerima kehadiran pengundi bermula pukul 8 pagi esok selepas proses semakan peti undi selesai dijalankan.
“Kita cuba mengeluarkan keputusan paling awal dalam pukul 10 malam esok dan keputusan penuh kita cuba sebelum 12 tengah malam,” katanya selepas meninjau persediaan proses PRN Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana Tampin, di sini, pagi ini.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, seramai 867,151 pemilih berdaftar layak mengundi membabitkan 859,760 pengundi biasa, manakala 7,391 lagi merupakan pengundi pos yang telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sebanyak 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan seramai 15,344 petugas pilihan raya ditugaskan mengendalikan keseluruhan proses. KOSMO! ONLINE
The post PRN N. Sembilan: SPR sasar umum keputusan seawal 10 malam appeared first on Kosmo Digital.






