
SEREMBAN – Polis membuka siasatan berhubung dakwaan cubaan menyogok pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas menerima laporan berkaitan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes itu adalah antara tiga kertas siasatan baharu yang dibuka pada 28 Julai membabitkan kesalahan berkaitan pilihan raya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selepas seorang lelaki berusia 29 tahun membuat laporan polis di Kuala Klawang, Jelebu.
“Pengadu mendakwa menerima mesej WhatsApp yang memaklumkan seorang calon Parti Pakatan Harapan menerima maklumat mengenai individu tidak dikenali yang didakwa akan mengagihkan wang kepada ‘pengundi putih’, iaitu pengundi tetap parti berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Selain kes itu, katanya polis turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung dakwaan penyebaran kandungan berunsur hasutan berkaitan pilihan raya melalui media sosial.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas sebuah sepanduk memaparkan gambar ADUN Pakatan Harapan di Jalan Chuah Site C, Port Dickson dilaporkan dikoyak dan dirosakkan,” katanya.
Alzafny berkata, sepanjang 18 hingga 28 Julai, sebanyak 62 laporan polis diterima membabitkan PRN Negeri Sembilan dengan 19 kertas siasatan dibuka. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Negeri Sembilan: Polis siasat dakwaan sogokan pengundi appeared first on Kosmo Digital.






