PRN Sarawak: DAP bertanding tujuh kerusi di Kuching, Bau

LocalPolitics
1 Nov 2026 • 11:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Sarawak: DAP bertanding tujuh kerusi di Kuching, Bau
DAP akan bertanding di tujuh kerusi di kawasan Kuching dan Bau pada PRN Sarawak ke-13. Foto Facebook DAP Sarawak

KUCHING - DAP akan bertanding di tujuh kerusi di kawasan Kuching dan Bau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, kata Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen.

Menerusi hantaran di Facebook DAP Sarawak, Chieng Jen yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa negeri parti itu awal hari ini berkata, tujuh kerusi berkenaan ialah Padungan, Pending, Batu Kitang, Kota Sentosa, Batu Kawah, Tasik Biru dan Opar.

"Kami (DAP) juga sedang mempertimbangkan kerusi Batu Lintang sebagai kemungkinan kerusi kelapan yang akan ditandingi.

"Fokus kami kekal untuk terus membawa lebih banyak suara rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri serta memastikan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh demi kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.

Chieng Jen berkata, parti itu akan mengumumkan keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi di Sibu, Sarikei, Bintulu serta Miri dalam tempoh seminggu hingga dua minggu ini.

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, DAP hanya memenangi dua daripada 26 kerusi ditandingi iaitu Padungan dan Pending.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 November ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak ke-13. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved