
KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu Isnin ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat, namun tumpuan ketika ini adalah kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
“Pas sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya. Soal sama ada kita akan bertanding atau tidak itu perkara kedua. Sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, di mana-mana negeri pun calon itu sentiasa ada.
“Bagaimanapun, bagi konteks PRN Sarawak, kita masih belum membuat keputusan sama ada akan mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri itu atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini malam tadi.
Media hari ini melaporkan, DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa Isnin ini (26 Oktober) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13).
Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, PAS sebelum ini memutuskan untuk menyertai PRN Sabah dan berjaya memenangi satu kerusi, namun keputusan berhubung penyertaan parti itu dalam PRN Sarawak masih belum diputuskan.
“Setakat ini, saya masih belum menerima arahan daripada Presiden untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara itu. Bagaimanapun, mesyuarat PN akan diadakan pada esok (Ahad),” katanya.
The post PRN Sarawak: PN belum buat keputusan bertanding appeared first on Kosmo Online.





