liza23/11/2026 - 15:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Projek pendigitalan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pembaharuan lesen Telekom Malaysia (TM) bagi perniagaan automasi proses robotik (RPA) menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan keuntungan Censof Holdings Berhad bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (2QFY2027).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia perkhidmatan teknologi digital itu berkata ia merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.07 juta, meningkat 60.4% berbanding RM1.91 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan keuntungan itu disokong hasil kumpulan yang naik 18.9% kepada RM29.98 juta berbanding RM25.23 juta pada 2QFY2026.
Keuntungan kasar turut meningkat 23.1% kepada RM11.85 juta daripada RM9.63 juta, manakala margin keuntungan kasar bertambah kepada 39.5% berbanding 38.2% sebelumnya.
Projek LHDN, pembaharuan lesen TM tingkatkan hasil
Menurut laporan kewangan kumpulan, segmen Teknologi Digital (DT) mencatat pertumbuhan hasil tertinggi antara segmen operasi, meningkat 79.1% kepada RM6.68 juta berbanding RM3.73 juta pada suku sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu terutama disumbangkan pembaharuan lesen TM bagi perniagaan RPA yang menjana hasil sebanyak RM3.2 juta sepanjang suku berkenaan.
Segmen Penyelesaian Pengurusan Kewangan – Kerajaan (FMS-G) pula mencatat peningkatan hasil 28.6% kepada RM19.89 juta berbanding RM15.53 juta sebelumnya.
Peningkatan itu didorong kemajuan pelaksanaan dua projek baharu yang diperoleh kumpulan, iaitu Sistem Maklumat Kewangan Bersepadu LHDN (HFIS) yang menyumbang RM3.2 juta dan projek LHDN HiDEF 2.0 sebanyak RM800,000.
Hasil berulang meningkat, segmen pengurusan kekayaan terjejas
Sementara itu, segmen Penyelesaian Pengurusan Kewangan – Komersial (FMS-C) merekodkan pertumbuhan hasil 11.2% kepada RM6.31 juta berbanding RM5.67 juta pada suku sama tahun lalu, disokong sumbangan daripada dua projek baharu perancangan sumber perusahaan (ERP).
Censof turut mencatat peningkatan hasil berulang sebanyak 25.2% kepada RM19 juta, merangkumi 63.5% daripada jumlah hasil kumpulan berbanding 60.3% pada 2QFY2026.
Bagaimanapun, segmen Penyelesaian Pengurusan Kekayaan (WMS) merekodkan penurunan hasil 64.6% kepada RM828,000 berbanding RM2.34 juta sebelumnya.
Menurut kumpulan, kemerosotan itu disebabkan pelaksanaan projek yang lebih perlahan susulan keadaan ekonomi semasa di Indonesia. Segmen berkenaan turut mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM617,000 berbanding keuntungan RM273,000 pada suku sama tahun lalu.
Prestasi enam bulan turut meningkat
Bagi tempoh kumulatif enam bulan pertama FY2027, hasil kumpulan meningkat 6.5% kepada RM53.88 juta berbanding RM50.59 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
PAT bagi tempoh itu meningkat 67.8% kepada RM5.77 juta daripada RM3.44 juta, manakala hasil berulang naik 11.8% kepada RM33.8 juta, mewakili 62.7% daripada jumlah hasil kumpulan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, prestasi suku kedua menunjukkan kumpulan mampu meningkatkan hasil dan memperbaiki margin keuntungan.
Beliau berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi secara berdisiplin, meningkatkan asas hasil berulang serta menyelaraskan perniagaan dengan agenda e-invois dan pendigitalan sektor awam Malaysia.
Censof turut melihat peluang dalam teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan pengkomputeran kuantum, sejajar dengan tumpuan kerajaan terhadap penggunaan AI serta pendigitalan sektor awam menerusi Belanjawan 2027. - DagangNews.com





