liza25/11/2026 - 15:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan penurunan keuntungan bersih hampir 10% kepada RM1.88 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding tempoh sama tahun sebelumnya susulan penyusutan pendapatan faedah dan bukan faedah.
Kemerosotan itu dipengaruhi margin faedah bersih (NIM) yang semakin mengecil, sekali gus menjejaskan pendapatan faedah bank manakala pendapatan bukan faedah turut terkesan akibat hasil yuran dan aktiviti dagangan yang lebih rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Novan Amirudin berkata, kumpulan kekal komited terhadap pertumbuhan berdisiplin dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi makro.
Beliau berkata, CIMB akan terus menambah baik portfolio perniagaannya, menyusun semula peruntukan modal kepada peluang yang menawarkan pulangan lebih tinggi serta pertumbuhan yang mampu meningkatkan nilai kepada pemegang saham.
Keuntungan sembilan bulan turun 3.5%
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), keuntungan bersih kumpulan turut merosot 3.5% kepada RM5.73 bilion.
Selain pendapatan yang lebih rendah, prestasi keuntungan turut terjejas akibat peningkatan peruntukan sebanyak 19% serta pengurangan pembalikan peruntukan dalam segmen perbankan borong.
Bagaimanapun, pulangan atas ekuiti (ROE) CIMB mencapai 11% bagi tempoh sembilan bulan pertama, selaras dengan sasaran kumpulan untuk mencatatkan ROE antara 11% hingga 11.5% bagi keseluruhan FY26.
Novan berkata, kumpulan akan terus melabur dan mempercepatkan pembangunan empat pemacu pertumbuhan utama bagi mengekalkan momentum pendapatan.
Empat pemacu itu ialah pertumbuhan kunci kira-kira yang menguntungkan, pengurusan kekayaan, jualan perkhidmatan perbendaharaan kepada pelanggan serta pendapatan yuran.
Isytihar dividen khas RM596 juta
Dalam perkembangan berasingan, CIMB mengisytiharkan dividen khas berjumlah RM596 juta atau 5.50 sen sesaham, yang akan dibayar pada 24 Disember 2026.
Pengagihan itu sebahagian daripada komitmen berbilang tahun yang diumumkan pada November 2025 untuk memulangkan sehingga RM2 bilion lebihan modal kepada pemegang saham menjelang akhir 2027.
Dengan pengumuman terbaharu itu, jumlah dividen yang telah diisytiharkan kumpulan setakat ini mencecah RM2.72 bilion atau 25.15 sen sesaham.
Sementara itu, nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) CIMB berada pada 14% selepas mengambil kira pengisytiharan dividen, mencerminkan kedudukan modal kumpulan. - DagangNews.com





