liza18/11/2026 - 12:04 Bukit Kerayong di Kapar, Selangor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov – Pembangunan kawasan perindustrian seluas 657.09 hektar (1,623 ekar) di Bukit Kerayong, Kapar oleh YTL Power International Berhad bersama SD Guthrie Berhad dan Bumi Assets menimbulkan kebimbangan berhubung kesan terhadap alam sekitar serta kemudahan infrastruktur penduduk setempat.
Kebimbangan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali yang mempersoalkan sama ada kerajaan sudah menjalankan penilaian terhadap kesan keseluruhan pembangunan berkenaan, khususnya dari segi risiko banjir, bekalan air, elektrik dan kemudahan infrastruktur.
Menurut Dr Halimah, perubahan guna tanah susulan pembangunan kawasan perindustrian berkenaan boleh meningkatkan risiko banjir serta limpahan air sekiranya kesannya terhadap sistem saliran tidak dinilai dengan teliti.
“Kawasan Kapar sudah berdepan beberapa masalah infrastruktur termasuk sekolah yang sesak, kejadian banjir berulang, jalan raya rosak serta tekanan terhadap sistem perparitan.
“Adakah kerajaan dapat memastikan penduduk setempat tidak menanggung kos sosial dan alam sekitar akibat pembangunan itu, sedangkan manfaat pelaburan dinikmati pihak lain,” katanya menerusi soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong di Dewan Rakyat hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Kerayong, Klang berpotensi jadi kampus pusat data gergasi YTL Power, menurut MBSB Research
Menurut kenyataan YTL Power International pada 29 Oktober lalu, syarikat itu memeterai usaha sama dengan SD Guthrie dan Bumi Assets bagi membangunkan kawasan perindustrian berkenaan.
Kerajaan nilai keperluan bekalan air dan elektrik
Sementara itu, Wilson berkata Pasukan Petugas Pusat Data sentiasa menilai setiap permohonan pembangunan pusat data bagi memastikan bekalan elektrik dan air mencukupi sebelum kelulusan diberikan.
“Penilaian itu dilaksanakan dengan penyelarasan bersama penyedia utiliti dan agensi teknikal berkaitan bagi memastikan keperluan sumber berkenaan dapat dipenuhi.
“Kerajaan turut menilai kecekapan penggunaan tenaga menerusi ukuran Power Usage Effectiveness (PUE), selain menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dan teknologi yang lebih cekap,” katanya
Berdasarkan maklumat awal kerjasama tersebut menunjukkan kumpulan berkenaan hanya bercadang membangunkan taman perindustrian bersepadu di tanah yang baru dibelinya.
Namun, penganalisis berkata secara teorinya keluasan tanah berkenaan mampu menampung kapasiti pusat data sehingga 4GW dan berpotensi mengatasi skala Taman Pusat Data Hijau YTL di Kulai, Johor. - DagangNews.com





