Saya sudah hampir satu dekad tidak lagi menggunakan komputer desktop kerana komputer riba lebih praktikal. PC di rumah sudah menjadi tukun dan sekadar menjadi pelayar media. Pemacu CD-ROM pula sudah lama tidak dibuka kerana saya telah membuang semua media fizikal empat tahun lalu. Jika anda seperti saya, projek CD-ROM PLAYER 01 oleh das_POD mengitar semula pemacu CD ROM menjadi pemain CD lagu.

Ia dijual sebagai kit dengan pembeli hanya perlu menyambungkan pemacu CD ROM menggunakan kabel IDE. Setiap kita diperbuat daripada kepingan aluminium yang dipotong menggunakan laser. Tiga warna ditawarkan iaitu Natural Anodized, Orange Powder Coat, dan Matte Black Powder Coat.

Pemain CD ini berfungsi seperti pemain CD biasa dimana terdapat LCD memaparkan lagu dimainkan , butang kawalan fizikal, input kuasa DC 12V dan output audio 3.5mm di bahagian belakang. Bagi yang inginkan pemain CD yang menggabungkan rekaan industrial dan komponen retro, CD-ROM PLAYER 01 dijual pada harga bermula $190 (~RM772) sebuah.






