sarah21/10/2026 - 10:53 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Radium Development Berhad mencatat kadar tempahan awal sebanyak 40% bagi projek kediaman Radium Evara bernilai RM506 juta di Kepong, selepas pembukaan galeri jualan dan proses pemilihan unit oleh pembeli.
Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.314 ekar itu merangkumi 797 unit kediaman dengan harga purata RM450,000, menawarkan rumah tiga dan empat bilik tidur berkeluasan antara 800 hingga 1,250 kaki persegi.
Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata, pembangunan itu dirancang bagi memenuhi keperluan pembeli yang mencari kediaman lebih luas di kawasan perbandaran matang seperti Kepong.
“Pendekatan kami sentiasa bermula dengan keperluan penghuni, bukannya semata-mata produk yang ditawarkan. Kami mahu pembangunan ini turut menyumbang kepada perkembangan Kepong dan mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan menyasarkan pembeli yang ingin mendiami rumah sendiri, termasuk keluarga yang memerlukan ruang kediaman lebih besar dan isi rumah berbilang generasi.
Radium Evara mempunyai akses ke beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Kuching, Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya Selayang-Kepong, selain kemudahan pengangkutan awam menerusi stesen KTM dan MRT berhampiran.
Pembangunan itu turut merangkumi kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang bola keranjang, sauna, dewan serbaguna dan kawasan permainan kanak-kanak, selain menerima pensijilan sementara GreenRE Silver bagi aspek reka bentuk mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Radium Development, Kenneth Khoo berkata, sambutan awal terhadap projek tersebut menunjukkan pembeli turut mengambil kira faktor keluasan rumah, kemudahan persekitaran dan kesesuaian kediaman untuk jangka panjang.
“Pembeli hari ini melihat lebih daripada sekadar lokasi. Mereka mahukan kediaman yang dapat memenuhi keperluan pada pelbagai peringkat kehidupan, sama ada ketika memulakan keluarga, bekerja secara fleksibel atau merancang masa depan,” katanya.
Projek Radium Evara dijadualkan siap pada 2030. - DagangNews.com




