Northern Solar tambah RM34 juta kontrak solar, portfolio projek cecah RM153.4 juta

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Northern Solar tambah RM34 juta kontrak solar, portfolio projek cecah RM153.4 juta Image from: Northern Solar tambah RM34 juta kontrak solar, portfolio projek cecah RM153.4 juta sarah07/10/2026 - 17:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt -- Northern Solar Holdings Bhd meraih kontrak bernilai RM34 juta bagi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar berkapasiti 9.50MW.


Kontrak itu diperoleh menerusi surat anugerah (LOA) yang diterima anak syarikat milik penuh kumpulan, Northern Solar Sdn Bhd hari ini.


Pengarah Urusan Northern Solar Holdings Bhd, Lew Shoong Kai berkata, kontrak terbaharu itu menambah satu lagi projek solar berskala besar kepada portfolio syarikat, selain mengukuhkan pengalaman kejuruteraan dan pelaksanaan projek kumpulan merentasi segmen pelanggan.


"Keutamaan kami adalah memastikan setiap projek disiapkan mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan, selain mengekalkan disiplin ketat dari segi kos, modal kerja dan risiko pelaksanaan," katanya.


Projek ini dijadualkan mencapai operasi komersial selewat-lewatnya pada 1 Mei 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.


Identiti pihak yang menganugerahkan kontrak tidak didedahkan berikutan peruntukan kerahsiaan dalam LOA berkenaan.


Anugerah terbaharu itu menambah portfolio projek solar berskala utiliti Northern Solar, susulan kontrak berkaitan Program Solar Berskala Besar (LSS5) bernilai RM119.4 juta yang diperoleh pada Mac 2026 dan kini dalam fasa pelaksanaan.


Dengan kontrak baharu itu, nilai keseluruhan projek solar berskala besar yang diperoleh kumpulan dalam tempoh berkenaan mencecah kira-kira RM153.4 juta.


Setakat 30 Jun 2026, buku pesanan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM189.3 juta, memberikan keterlihatan hasil kepada syarikat.


Dalam perkembangan berkaitan, prospek sektor tenaga boleh diperbaharui turut disokong penambahbaikan terkini terhadap Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membolehkan pemaju membekalkan elektrik secara terus kepada pengguna korporat melalui grid nasional.


Pada 18 September 2026, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan Pakej Percepatan CRESS bagi meningkatkan prospek pembiayaan projek dan mempercepatkan pembangunan kapasiti baharu.


Pakej itu antara lain mengurangkan caj akses sistem bagi bekalan tetap yang layak kepada 14 sen/kWj daripada 20 sen/kWj, selain memperkenalkan tempoh kontrak selama 10 tahun.


Projek yang menyertai skim itu perlu mencapai operasi komersial menjelang 31 Disember 2028 bagi melayakkan diri.


PETRA turut melaporkan pemaju dan pengguna berdaftar ketika ini mewakili kapasiti projek sebanyak 3,148MW, menunjukkan potensi permintaan yang besar terhadap projek tenaga boleh diperbaharui.


Shoong Kai berkata, caj akses grid yang lebih rendah dan kepastian kontrak yang lebih tinggi boleh membantu pemaju membawa projek ke peringkat pembiayaan dan pembinaan.


"Apabila projek-projek ini bergerak ke hadapan, ia akan mewujudkan permintaan tambahan terhadap perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan dan pentauliahan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved